80 peratus gelandangan di Johor pulang ke pangkuan keluarga

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Zaiton Ismail menyaksikan penyerahan duit hari raya untuk kanak-kanak rumah mini oleh Ketua Pegawai Operasi Uda Angsana Sdn Bhd Imran Salleh kepada Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak (RKK) Mini Ulu Tiram Suraya Hani Kamarolzaman(kanan) pada Program Kasih Aidilfitri meraikan anak-anak dan kakitangan RKK Mini Ulu Tiram Johor di rumah itu hari ini.- Foto Bernama

A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 80 peratus daripada 240 gelandangan yang mendapat perlindungan di Kem Wawasan Gunung Pulai, dekat Kulai, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19, telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, kejayaan itu adalah hasil pemprofilan yang dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor.

Katanya, ia juga berjaya dilakukan menerusi sesi kaunseling dan psikologi pihak JKM.

Menurutnya, ada juga sesetengah gelandangan yang diserah JKM kepada Polis Diraja Malaysia, Hospital Permai, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Penjara Reman Ulu Choh atas sebab-sebab tertentu.

“Kita telah berjaya mengeluarkan seramai 187 gelandangan dan sehingga hari ini hanya tinggal 61 orang sahaja di kem berkenaan. Rata-rata mereka ini (61 gelandang) juga didapati mampu untuk bekerja cuma tidak mempunyai rumah dan sebagainya.

“Tetapi kita akan terus berusaha untuk meminimumkan jumlah. Saya harap gelandangan di kem itu akan terus berkurangan dan sekurang-kurangnya kita dapat membantu mereka yang betul-betul tidak mempunyai rumah dan memerlukan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kasih Aidilfitri Rai Anak-Anak dan kakitangan di Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKM negeri Mohamad Hapil dan Ketua Pegawai Operasi UDA Angsana Sdn Bhd Imran Salleh.

Zaiton bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus menyantuni dan mengenal pasti keluarga gelandangan di kem berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Harapan saya juga kepada mereka di luar sana untuk terus membantu golongan gelandangan, kadang-kadang mereka ini hanya dipandang sepi.

“Mereka juga punyai hati dan perasaan, jadi saya minta agar orang ramai membantu dan bukan mengecam, usaha cari jalan keluar kerana mereka bukan satu beban dan masyarakat juga perlu mainkan peranan,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!