Antara kesedihan dan kegembiraan
HARI ini sudah 28 hari kita berpuasa. Nampaknya Ramadan akan menutup tirainya tidak lama lagi.
Pemergian Ramadan meninggalkan kita sewajarkan diiringi dengan perasaan penuh kesedihan. Ini kerana belum tentu kita akan bertemu lagi pada tahun akan datang.
Para ulama terdahulu akan menangis apabila Ramadan makin hampir ke penghujung.
Ramadan adalah madrasah rabbaniyyah iaitu sebuah medan tarbiah diri yang disediakan oleh ALLAH untuk kita setiap tahun.
Sesiapa yang melaluinya dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan terhadap ganjaran daripada ALLAH sememangnya dijanjikan dengan keampunan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apatah lagi mereka yang tidak pernah meninggalkan qiamullail pada sepanjang Ramadan iaitu bangun pada malam hari untuk beribadat dan bermunajat kepada ALLAH. Malah pada 10 malam terakhir digandakan lagi kesungguhan beribadat demi mengejar Lailatul Qadar.
Walau sesedih manapun kita, Ramadan tetap akan meninggalkan kita. Alangkah ruginya mereka yang tidak menggunakan bulan mulia ini untuk membuat yang terbaik terhadap ALLAH dan manusia.
Pada bulan ini kita menjaga hati, mulut dan segala anggota kita daripada melakukan dosa. Kita menahan diri kita daripada segala sifat keji yang dibenci ALLAH dan Rasulullah SAW.
Pemergian Ramadan bermakna kita akan menyambut kedatangan Syawal, satu lagi bulan yang dinanti-nantikan.
Pada kebiasaannya, kedatangannya sentiasa disambut dengan penuh gembira. Manakan tidak, kedatangan bulan Syawal bermakna semua umat Islam akan menyambut Aidilfitri yang hanya sekali disambut pada setiap tahun.
Sambutan Aidilfitri pada tahun ini tentu sekali amat jauh bezanya dengan tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini kita tidak dapat balik kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama ibu bapa dan sanak saudara kita.
Ini kerana kita masih tidak boleh merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Hanya yang tinggal satu kampung atau satu daerah dengan ibu bapa dan saudara mereka yang boleh berziarah. Itu pun setakat hari pertama sahaja.
Kepada mereka yang ada peluang begitu, saya mengharapkan mereka tidak lupa untuk mengambil kira segala nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sama-samalah kita jaga agar tidak menyusahkan semua pihak.
Biarpun Aidilfitri kali ini mungkin tidak semeriah dahulu, tetapi kita boleh memeriahkannya melalui alam maya.
Kita masih boleh bersua muka di alam maya. Kita masih tetap dapat berbicara dan berkongsi cerita.
Kita juga boleh saling bertukar juadah raya biarpun sekadar melalui media sosial. Masing-masing boleh menunjukkan kreativiti dalam meraikan Aidilfitri pada tahun bersejarah ini, misalnya dalam kumpulan WhatsApp atau Telegram adik-beradik, saudara dan kawan-kawan.
Jika di alam fizikal kita mempunyai kekangan masa untuk menziarahi semua orang, tetapi di alam maya kita boleh menziarahi semua orang yang kita inginkan dalam masa yang tidak sampai satu saat tanpa rasa kepenatan meronda sana sini seperti tahun-tahun sebelum ini.
Perut kita pun selamat daripada mengalami kesakitan dek pelbagai juadah hari raya. Inilah antara normal baharu yang kita kena terima.
Akhir kalam, biarpun dalam hati kita bercampur baur antara kesedihan dan kegembiraan, terimalah normal baru ini dengan hati terbuka. Moga kita tetap ceria biarpun beraya di dalam rumah sahaja. Wallahu a’lam.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!