PTA, PUBI sambut baik PRE 2 kepada sektor pelancongan
IPOH - Persatuan Pelancongan Perak (PTA) menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Kedua (PRE 2) yang diumumkan kerajaan negeri yang turut memberi tumpuan kepada sektor pelancongan.
Pengerusinya, Datuk Mohd Odzman Abdul Kadir berkata, penggiat sektor pelancongan di Perak amat menghargai usaha kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif menerusi PRE 2 itu.
“Kita amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap sektor pelancongan namun pada saya, pengusaha itu sendiri perlu turut sama berusaha membangunkan sektor pelancongan yang terkesan akibat koronavirus (Covid-19) ini tanpa terlalu mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.
ARTIKEL BERKAITAN: Perak umum pakej rangsangan kedua lebih RM71 juta
“Inisiatif yang disediakan kerajaan ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan sektor pelancongan di negeri ini kembali pulih seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI), Sharul Baha Abd Rahman berkata, suntikan modal melalui pembiayaan pinjaman yang diumumkan kerajaan negeri kepada peniaga amat baik.
Katanya, dengan cara itu, usahawan dapat meningkatkan aliran tunai mereka sekali gus membolehkan mereka terus bertahan ketika ekonomi yang mencabar ketika ini.Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan agar SMART Niaga@Perak terus diperkasakan dengan mewujudkan aplikasi bagi memudahkan pengguna mengakses kandungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!