KL hos mesyuarat menteri-menteri buruh Asean ke-25
M. Kula Segaran. - Foto Bernama
A
A
A
Bertemakan ‘Promoting Green Jobs for Equity and Inclusive Growth of Asean Community’, mesyuarat itu akan dipengerusikan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dan disertai Menteri-Menteri Buruh dari semua negara Asean.
Mesyuarat ini merupakan mesyuarat tertinggi yang berperanan menggubal dan membuat keputusan tentang program serta aktiviti perburuhan berdasarkan kepada Rangka Tindakan Komuniti Sosio-Budaya Asean dan Program Kerja Menteri-Menteri Buruh Asean 2016-2020.
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini berkata, satu laporan daripada Kumpulan Kerja Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Buruh Asean, Pelaksanaan Perisyitiharaan Asean tentang Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran serta Rangkaian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ASEAN juga akan diteliti pada mesyuarat tersebut.
Seiring dengan mesyuarat itu beberapa mesyuarat dan persidangan berkaitan juga akan diadakan, bermula dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Buruh Asean ke-14 pada 24 dan 25 November.
Ini diikuti dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Buruh Asean Campur Tiga ke-15 dan Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Projek Pertubuhan Buruh Antarabangsa/Jepun pada 26 November.
Seterusnya, Persidangan Sumber Manusia ke-6 akan berlangsung pada 27 November manakala Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh Asean+3 ke-10 akan diadakan pada 29 November.
Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Buruh Asean+3 ke-16, Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Projek Pertubuhan Buruh Antarabangsa/Jepun dan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh Asean+3 ke-10 akan disertai China, Jepun dan Korea Selatan.
Kula Segaran juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatan beliau yang antaranya akan menyentuh isu kerjasama perburuhan dan perkongsian amalan baik antara negara-negara berkenaan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!