Siklon Amphan ragut 12 nyawa di Benggala Barat, 5 di Bangladesh
NEW DELHI - Siklon Amphan yang membadai Benggala Barat semalam meragut 12 nyawa serta menyebabkan banyak kemusnahan di kawasan pantai India dan Bangladesh.
Taufan itu membadai pantai Benggala Barat dan Bangladesh dengan kekuatan angin sehingga 185 kilometer sejam, menurut Jabatan Meteorologi India.
"Banyak kawasan alami kerosakan. Hari ini saya melalui keadaan seperti dalam peperangan. Sekurang-kurangnya 10 hingga 12 orang maut," kata Ketua Menteri Benggala Barat, Mamata Banerjee memetik media tempatan.
Beliau berkata, daerah Nandigram dan Ramnagar turut terjejas.
Di Kolkata banyak daerah digenangi air banjir.
Taufan bukan sahaja merosakkan rumah malah banyak tiang elektrik dan pokok tumbang.
Sekurang-kurangnya lima kematian dilaporkan di Bangladesh.
Lebih lima juta penduduk di barat daya Bangladesh mengalami gangguan elektrik, lapor sebuah akhbar tempatan.
Sebelum Amphan membadai, pihak berkuasa di kedua-dua negara sudah memindahkan ratusan ribu orang yang duduk berdekatan dengan kawasan pantai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!