Singapura benarkan transit di Lapangan Terbang Changi mulai 2 Jun
SINGAPURA - Singapura secara beransur-ansur akan membenarkan pengembara melakukan transit menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Changi berkuat kuasa 2 Jun ini, demikian menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam republik itu (CAAS).
"Ini adalah sebahagian daripada strategi Singapura untuk membuka semula pengangkutan udara secara berperingkat demi memenuhi keperluan ekonomi dan rakyat kita selain memastikan aspek perlindungan sewajarnya serta mencukupi bagi perjalanan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, semua penerbangan perlu mengemukakan cadangan mengenai laluan pemindahan menerusi Lapangan Terbang Changi kepada CAAS.
"Cadangan itu akan dinilai dengan mengambil kira keselamatan penerbangan, pertimbangan kesihatan awam selain kesihatan penumpang dan anak kapal,” katanya.
Menurut CAAS, pada masa ini, penumpang asing hanya dibenarkan transit melalui Singapura sekiranya berada dalam penerbangan khas yang diatur oleh kerajaan masing-masing.
"Keputusan itu akan membolehkan penumpang melakukan transit menerusi Singapura dengan lebih mudah lagi,” katanya.
Atas alasan berjaga-jaga, CAAS berkata, langkah lebih ketat akan dilaksanakan bagi memastikan penumpang transit kekal di ruang terbabit dan tidak berada dalam kalangan penumpang lain di lapangan terbang berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!