Lebih 300 mohon permit rentas negeri dalam tempoh tiga jam
KUANTAN - Seramai 393 individu memohon permit merentas negeri dalam tempoh tiga jam bermula jam 8 pagi di Stadium Darul Makmur hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohammed Rizal Kamarudin berkata, kira-kira 50 permohonan ditolak kerana alasan tidak munasabah dan tiada dokumen yang menyokong pergerakan mereka.
"Tujuh kaunter dibuka membabitkan seramai 40 petugas barisan hadapan bertugas bagi melancarkan perjalanan permohonan orang ramai," katanya ketika ditemui media di sini pagi tadi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai yang diberi kebenaran bagi tujuan kembali bekerja, kematian, sakit tenat, pergerakan membawa ibu ayah atau keluarga untuk rawatan yang memerlukan pergerakan segera.
Seorang pekerja swasta, Jalaluddin Mahayuddin, 60, gembira kerana dapat kembali ke pangkuan keluarganya di Klang esok.
Beliau memberitahu sudah tiga bulan tidak bertemu isteri dan anak-anak kerana bertugas di negeri ini.
"Sudah dua kali saya datang ke Balai Polis Kuantan tetapi pulang semula kerana terlalu ramai yang mahu membuat permohonan. Alhamdulillah proses permohonan di stadium lancar dan tidak sampai sejam permohonan saya lulus," kata bapa empat anak berusia 2 hingga 17 tahun ini.
Pembantu Kawalan Trafik Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Ericlosen Chin, 25, turut juga bersyukur kerana dapat balik ke kampung selama dua minggu tahun ini.
"Kali terakhir saya bertemu keluarga dan isteri yang berada di Kuching Sarawak bulan Disember tahun lepas," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis tidak akan benarkan lagi pergerakan rentas negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!