Harga cili merah dipantau
ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kedah memantau harga jualan cili merah dan akan mengenakan tindakan terhadap peniaga yang mengambil keuntungan tidak munasabah terhadap penjualannya.
Pengarah KPDNHEP, Rae Morn Verak berkata, walaupun cili merah tidak termasuk dalam senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Aidilfitri namun pihaknya tetap mengambil berat aduan pengguna yang diterima.
Katanya, pihaknya akan membuat pemantauan dan mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada peniaga yang terlibat.
"Setelah kita menerima maklumat seperti statistik harga kita akan menjalankan analisa untuk melihat perbezaan margin.
"Sekiranya didapati wujudnya elemen pencatutan peniaga berkenaan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,"katanya ketika ditemui di Pasaraya Mydin di sini selepas melakukan pemeriksaan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang turut dihadiri, Exco Hal Ehwal Pengguna negeri Kedah, Wan Romani Wan Salim serta Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail.
Menurutnya, dalam tempoh SHMMP seramai 172 penguat kuasa KPDNHEP Kedah akan bertugas setiap hari kecuali pada hari raya pertama.
"Mereka akan melakukan pemantauan di pasar raya dan juga premis perniagaan untuk memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan,"katanya.
Sementara itu, Wan Romani berkata, walaupun negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan koronavirus (Covid-19) tetapi permintaan barangan keperluan menjelang Aidilfitri masih tinggi.
“Bagaimanapun kita jamin bekalan makanan mencukupi dan pengguna tidak perlu membuat pembelian panik.
“Saya juga berharap orang ramai tidak menyebarkan artikel yang tidak sahih berkaitan kenaikan harga barang sehingga boleh menimbulkan kegusaran pengguna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!