Wee Wern lakar kemenangan
BEKAS pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern, yang membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Juara-Juara 2019, melangkah ke pusingan kedua di New York hari ini.
Juara Terbuka Malaysia 2018 itu menewaskan pemain muda Mesir, Mayar Hany dengan 12-10, 11-3, 6-11 dan 11-6 dalam perlawanan pusingan pertama yang diadakan di Harvard Club, New York, menurut kenyataan laman web kejohanan itu;www.tocsquash.com.
Mengulas mengenai kemenangannya itu, Wee Wern berkata beliau gembira melakar kemenangan di New York dan teruja untuk menghadapi pertarungan pusingan kedua berdepan pilihan keenam, Nour El Tayeb dari Mesir pada Ahad.
“Saya pernah antara pemain termuda di gelanggang, tetapi kini tidak lagi. Sekarang terlalu ramai pemain muda Mesir yang membuat kemunculan, sekarang saya gembira kerana saya dapat mengatasinya, yang sebelum ini agak sukar, sejak saya mula bermain semula,
“Selepas memenangi set kedua, saya dapat bermain dengan lebih baik di gelanggang, tetapi pada set ketiga saya gagal mengawal permainan dan saya tidak dapat mengembalikannya hinggalah ke pusingan keempat. Kemudian saya tingkatkan permainan dan saya berjaya membuktikannya hari ini,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 28 tahun ini yang berehat selama 21 bulan berikutan kecederaan lutut semasa menyertai Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat 2016.
Turut menyertai beliau ke pusingan kedua, juara kebangsaan S Sivasangari yang meraih 11-2, 11-7 dan 11-8 menewaskan Fiona Moverley dari England dalam perlawanan pusingan pertama di Athletics Club New York.
Malaysia tidak menghantar pemain lelaki dalam kejohanan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!