Ribut: Tujuh rumah rosak, atap terbang di Ipoh
IPOH - Malang tidak berbau bagi tujuh keluarga yang menghuni tingkat 12 Pangsapuri Seri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi di sini apabila rumah mereka rosak teruk akibat ribut petang semalam dan kejadian itu pula berlaku beberapa hari menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan mendapati kediaman di tingkat paling atas blok A dan B yang mempunyai 17 unit setiap satu bukan sahaja rosak selepas atap diterbangkan angin tetapi menjadi kotor serta berbau busuk akibat ditakungi air hujan dan najis burung.
Seorang pekerja pembersihan Salina Jusoh, 54, yang berkongsi pengalaman berkata, dia berasa amat takut apabila secara tiba-tiba terdengar bunyi bising ketika sedang mengambil wuduk untuk solat Asar semasa berseorangan di rumah kira-kira jam 5.00 petang semalam.
“Saya masih trauma selepas melihat batu bata berterbangan dan melayang-layang sebaik membuka pintu untuk melihat keadaan di luar rumah dan segera mengunci pintu namun atap di bilik pula tiba-tiba roboh,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Ibu kepada empat anak itu berkata dia segera menghubungi suaminya yang bekerja di bengkel berhampiran supaya pulang kerana terlalu takut dengan keadaan itu yang pertama kali dialaminya selama lima tahun tinggal di rumah berkenaan.
Bagaimanapun, Salina berkata, dia sempat menyelamatkan beberapa balang biskut raya dan kerepek yang dibuat sendiri manakala sebahagian lagi rosak terkena air.
“Saya berharap kami dapat bantuan segera daripada pihak berkaitan supaya dapat tempat tinggal selesa kerana rumah dimasuki air apabila hujan lebih-lebih Hari Raya Aidilfitri dah dekat, " katanya sambil menambah mereka terpaksa menumpang tidur di rumah jiran buat sementara waktu.
Sementara itu, seorang wartawan akhbar berbahasa Cina, Chan Kong Chen, 45, yang turut menjadi mangsa berkata, hanya menyedari kejadian malang itu apabila pulang ke rumah dari bekerja dan terkejut melihat keadaan yang berselerak.
Beliau yang tinggal di pangsapuri itu sejak 21 tahun lepas bagaimanapun bersyukur kerana semasa kejadian tiada sesiapa di rumahnya.
“Nasib baik mak saya yang tinggal bersama balik ke kampung di Pulau Pinang dan semasa kejadian tiada orang di rumah ini,” katanya yang kini menumpang tidur di dewan pangsapuri yang terletak di tingkat bawah bangunan blok itu sementara menunggu bantuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Dr Ko Chung Sen yang melawat kawasan kejadian berkata, pejabatnya akan menyalurkan sumbangan wang tunai RM500 kepada setiap keluarga secepat mungkin selain mendapatkan bantuan bencana daripada kerajaan negeri.
Selain itu, pihaknya akan membantu semua mangsa untuk berpindah ke unit lain sementara kerja-kerja memperbaiki rumah mereka selesai yang dijangka mengambil tempoh kira-kira sebulan.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!