Lelaki didenda kerana miliki mercun

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap seorang lelaki, hari ini setelah mengaku bersalah memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Tertuduh, Zulhafizie Ismail, 24, juga berdepan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Nordiana Abd Aziz membuat keputusan itu selepas Zulhafizie mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api di sebuah bengkel di Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus pada 19 Mei lalu, jam 10.40 malam.

Zulhafizie didakwa memiliki pelbagai jenis mercun seperti lima kotak mercun bertulis Single Shot, lima bungkus mercun jenama Happy Boom Red Firecrackers, dua kotak mercun jenama Happy Boom Ground Spin dan tiga kotak bunga api bertulis B12-122K.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota polis melakukan serbuan di sebuah bengkel di Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus.

Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam sebuah bilik di dalam bengkel itu, dan tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!