KPDNHEP saran guna aplikasi 'Price Catcher' banding harga

Rosol (kanan) dan Saharuddin menunjukkan aplikasi 'Price Catcher'
Rosol (kanan) dan Saharuddin menunjukkan aplikasi 'Price Catcher'
A
A
A

HULU TERENGGANU- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan orang ramai menggunakan aplikasi 'Price Catcher' untuk membuat perbandingan harga bagi mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, aplikasi itu memaparkan maklumat harga lebih 432 barangan yang dikutip oleh 1,100 Pegawai Pemantau Harga (PPH) di seluruh negara secara harian, mingguan dan bulanan.

Menurutnya, selain dapat menjimatkan masa dan kos, pengguna dapat membuat perbandingan harga antara premis yang berlainan.

"Aplikasi ini dilengkapi dengan maklumat harga lebih terkini dan sentiasa dikemaskini dengan ciri-ciri terbaru bagi membantu pengguna merancang perbelanjaan.

"Melalui 'Price Catcher' pengguna tidak perlu lagi datang ke pasar raya dan membuat perbandingan harga sekali gus lebih menjimatkan masa dan memudahkan kerja.

"Antara ciri terkini yang dibangunkan ialah kemudahan perkongsian maklumat carian harga melalui media sosial dan hebahan mengenai perubahan harga minyak atau maklumat kepenggunaan lain," katanya selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan di Pasaran Sabasun, Ajil hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Tambah Rosol, aplikasi mudah alih 'Price Catcher' itu menggunakan platform Android dan iOS dan mula dibangunkan sejak 2018.

Artikel Berkaitan:

"Aplikasi ini juga melibatkan perbandingan harga di pasar raya, pasar awam, pasar basah dan kedai runcit terpilih.

"Penggunaan aplikasi ini juga secara tidak langsung dapat membantu pengguna supaya lebih bijak merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan selain menggalakkan peniaga beretika dan meletakkan harga yang munasabah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, beliau berkata, kementerian telah mengenal pasti 10 jenis barangan bagi pelaksanaan skim itu di Terengganu antaranya ayam, telur, daging dan kelapa.

Katanya, tarikh kuat kuasa skim itu bermula semalam hingga 3 Jun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!