Tuduh-menuduh punca gelombang kedua Covid-19

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SEHARI dua ini, isu koronavirus (Covid-19) kembali panas dalam kalangan pemimpin apabila mereka saling menuduh satu sama lain siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan gelombang kedua wabak pembunuh itu.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menyalahkan ‘Langkah Sheraton’ sebagai punca gelombang kedua penularan wabak tersebut di Malaysia dengan berkata, jika bukan kerana langkah politik itu, Malaysia mungkin dapat mengelakkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, hampir separuh kes Covid-19 yang dikesan membabitkan kluster konvensyen jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang berlangsung antara 28 Februari dan 1 Mac membabitkan peserta tempatan dan antarabangsa.

“Jika tidak kerana ‘Langkah Sheraton’ dan pergolakan politik yang semakin buruk seperti dinyatakan dalam titah Yang di-Pertuan Agong pada pembukaan sidang Parlimen pada Isnin lalu, Malaysia tidak perlu berdepan gelombang kedua penularan Covid-19.

“Jumlah kes jangkitan Covid-19 kita yang disahkan akan berada dalam lingkungan 3,000, jika tidak di bawah 3,000 kes, berbanding hampir mencapai 7,000 kes hari ini,” katanya.

Kenyataan Kit Siang tersebut terus dibidas oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN), antaranya Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Kata Hang Soon, ‘Langkah Sheraton‘ langsung tiada kaitan dengan gelombang kedua Covid-19.Beliau mendakwa beberapa tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum tumbang menjadi punca meningkatnya kes Covid-19, antaranya menggalakkan penjarakkan sosial tanpa PKP dan pelancong dari China tidak dihalang masuk.

Apapun faktor yang menjadi punca berlakunya gelombang kedua Covid-19 di Malaysia, ia sudah pun berlaku dan ribuan anggota barisan hadapan kini berjuang bagi memutuskan jangkitannya.Usahlah berbalah siapa yang menjadi punca tetapi marilah bersama-sama membantu memastikan Covid-19 terus lenyap di bumi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Rakyat sudah bosan mendengar retorik dan tuduh-menuduh sesama sendiri.

Jadilah pemimpin yang benar-benar matang dan bekerja untuk rakyat!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!