Tidak amal konsep negara kebajikan

Mohammad Hanafi Maulud
Mohammad Hanafi Maulud
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan bantuan kewangan disediakan oleh JKM Selangor adalah khusus buat kumpulan sasar yang lebih memerlukan bagi meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.

Pengarah JKM Selangor, Mohammad Hanafi Maulud berkata, secara prinsipnya, bagi melaksanakan pemberian bantuan ini kepada rakyat, kerajaan tidak sesekali mengamalkan konsep negara kebajikan.

Beliau berkata, skim bantuan diwujudkan oleh JKM adalah sebagai alat dalam proses membantu golongan berkenaan ke arah pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian yang merupakan satu kaedah dalam kerja sosial.

"Proses pemberian bantuan kebajikan ini juga ambil kira potensi pada setiap penerima bantuan yang masih produktif ke arah hidup berdikari.

"Selain itu, objektif pemberian bantuan ini juga antaranya bagi memenuhi keperluan asas untuk meringankan beban penerima dan sebagai alat sokongan sosial bagi menilai kemampuan pihak berkenaan untuk berdikari serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan," katanya.

Mohammad Hanafi berkata, secara amnya setiap permohonan bantuan kebajikan akan mengambil kira syarat kelayakan mengikut jenis bantuan ditetapkan.

Beliau berkata, syarat utama kelayakan bagi permohonan bantuan ini adalah pemohon seharusnya merupakan warganegara Malaysia dan pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM930 sebulan atau Pendapatan Purata Miskin Perkapita RM230 sebulan seperti ditetapkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Semua permohonan dibuat perlu memenuhi kriteria dan kadar pemberian bantuan kebajikan adalah berdasarkan kepada setiap jenis bantuan ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai prosedur permohonan bantuan JKM, beliau berkata, pengendalian permohonan dibuat di peringkat Pejabat JKM Daerah dan pihaknya akan menjalankan siasatan terlebih dahulu bagi tujuan penilaian untuk mengesahkan kelayakan pemohon.

Katanya, urusan itu bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang dibuat berdasarkan kepada kelayakan dan bukannya hak.

"Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta bawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat JKM Daerah seperti salinan kad pengenalan diri pemohon, salinan kad pengenalan suami atau isteri atau ibu atau bapa dan anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak atau ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada) dan dokumen lain berkaitan," katanya.

Menurutnya, penyelarasan untuk menaikkan bantuan setiap tahun atau kadar kekal sama akan melibatkan dasar kerajaan dan kesan kewangan kepada negara, malah perkara itu perlu dirujuk kepada Ibu Pejabat JKM.

[ARTIKEL BERKAITAN: OKU dapat bantuan tapi tak cukup!]

[ARTIKEL BERKAITAN: Gigih cari rezeki walaupun bertongkat]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Naikkan bantuan jadi RM500']

[ARTIKEL BERKAITAN: 3,617 individu di Kuala Lumpur terima elaun pekerja cacat]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kadar bantuan JKM naik bermula 2018]

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!