Rahsia Lailatul Qadar dan Sereia
ADA nikmat tersembunyi di sebalik ketibaan Lailatul Qadar yang begitu dirahsiakan kehadirannya. Malam sehebat 1,000 bulan itu jadi idaman umat Islam sepanjang bulan Ramadhan. Ramai yang berjaga sepanjang malam beribadat, mengabdikan diri pada ALLAH Yang Maha Kuasa.
Begitu juga seekor jerung harimau bernama Sereia yang merentas antara benua sejauh 6,437 kilometer dari Afrika ke pantai Indonesia. Apa sebenarnya rahsia yang ingin Allah sampaikan kepada manusia?
Bermula dari pantai Mozambique pada November 2018, Sereia merentas Lautan Hindia dan tiba di perairan Indonesia berhampiran Australia bulan lalu. Sebagai seorang yang terlibat dalam dunia permotoran, penulis sentiasa mengkaji tentang kelajuan, jarak yang direntasi dan penambahbaikan teknologi. Penulis tertarik untuk menghuraikan enigma yang menyelubungi perjalanan Sereia.
Seperti mana kita mencari Lailatul Qadar pada setiap ketibaan bulan Ramadan, perjalanan Sereia menimbulkan banyak persoalan. Sebelum Sereia, ada seekor jerung putih betina bernama Lydia yang merentasi Mid-Atlantic Ridge (MAR). MAR ialah rabung tengah laut, sempadan simpangan berlainan atau konstruktif yang terletak di sepanjang dasar Lautan Atlantik. Ia juga ialah sebahagian daripada bentuk pergunungan terpanjang di dunia.
Lydia telah berenang merentas Lautan Atlantik. Walhal dikatakan sebelum ini belum ada seekor jerung mampu untuk merentasi Lautan Atlantik. Lydia berenang sejauh 3,54okm sehingga tiba di perairan North Carolina, Amerika Syarikat. Sekali lagi, penulis cuba memahami rahsia yang ingin disampaikan Allah kepada manusia.
Perjalanan hidup Sereia sentiasa dipantau pasukan penyelidik Biopixel Oceans Foundation (BOF) dan Oceanographic Research Institute (ORI). Pada November 2018, Sereia memulakan perjalanan epik untuk membuktikan ikan jerung itu mampu menyeberangi lautan sejauh lebih 7,700 km dalam masa 18 bulan. Persoalannya, kenapa Sereia berenang jauh dan apakah tujuannya?
Pengalaman
Menerusi Surah al-Kahfi ayat [18:60-65] ALLAH SWT menjelaskan “Ketika Musa berkata kepada muridnya: Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan, atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun; Maka tatkala mereka sampai ke pertemuan dua buah laut itu, mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu; Maka tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Musa kepada muridnya: "Bawalah ke mari makanan kita; sesungguhnya kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini.”
Sambung ayat itu lagi, muridnya menjawab: "Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali; Musa berkata: Itulah (tempat) yang kita cari.
Lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula; Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.”
Secara tadabburnya, manusia sentiasa berdepan cabaran demi cabaran. Antara cabaran itu ialah untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran untuk mengharungi perjalanan jauh. Catatan ini dikupas oleh Rasulullah SAW hadis riwayat Ibnu Abbas dalam Kitab Sahih Bukhari (No. 1485).
Kisah Nabi Musa membuktikan bahawa manusia perlu keluar meninggalkan tempat asal demi mencari ilmu dan menambah pengalaman hidup. Proses ini termasuk memenuhi potensi demi mengecapi kehidupan sempurna. Keluar menuntut ilmu juga dianggap satu pengorbanan dan jihad. Cerita Nabi Musa ada kaitan dengan pengalaman Nabi Yunus yang dikuarantin di dalam perut ikan Nun selama 42 hari. Mungkin inilah yang hendak disampaikan Sereia. Mesejnya jelas bahawa perjalanan jauh menyaji pelbagai pengalaman berharga.
Justeru, penulis percaya kita harus berkelana dan keluar daripada kepompong persekitaran biasa untuk menuntut ilmu pengetahuan daripada mereka yang mempunyai ilmu dan pengalaman luas dalam bidang tertentu. Buat permulaan, mungkin ada rakyat Malaysia yang mampu menghasilkan vaksin untuk menyembuhkan virus koronavirus (Covid-2019). Lihatlah kesan Covid-2019, yang melanda hampir semua negara di dunia ini. Pasti ada pengalaman yang boleh dikutip daripada setiap negara yang dilanda musibah pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!