UiTM tawar biasiswa RM1 juta untuk pelajar cemerlang

UiTM menawarkan biasiswa berjumlah RM1 juta kepada 52 pelajar cemerlang melalui Tabung Endowmen UiTM.
UiTM menawarkan biasiswa berjumlah RM1 juta kepada 52 pelajar cemerlang melalui Tabung Endowmen UiTM.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) buat pertama kalinya menawarkan biasiswa berjumlah RM1 juta kepada 52 pelajar cemerlang melalui Tabung Endowmen UiTM.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata, biasiswa tersebut diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi September ini.

Menurutnya, dana biasiswa itu diperoleh melalui tabung amanah yang ditubuhkan atas nama Kumpulan Wang Endowmen UiTM pada 26 Februari lalu.

" Ia adalah dana hasil sumbangan korporat, alumni dan orang persendirian kepada UiTM untuk membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian. Peruntukan Biasiswa Endowmen UiTM ini akan memberi manfaat kepada 52 pelajar cemerlang universiti untuk melanjutkan pengajian mereka pada peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

"Sepanjang pembiayaan ini, pelajar akan diberikan elaun bulanan, yuran pengajian dan perbelanjaan yang diperlukan," katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Dr Ir Mohd Azraai
Dr Ir Mohd Azraai

Jelas beliau, mengikut pecahan, pembiayaan tersebut akan melibatkan 40 pelajar sarjana muda, tiga pelajar sarjana dan tiga pelajar PhD dalam negara.

Katanya, selebihnya adalah untuk pelajar sarjana dan PhD cemerlang antarabangsa dengan maksud untuk membolehkan mereka menerajui dalam bidang penyelidikan tertentu.

Artikel Berkaitan:

Peruntukan biasiswa yang disediakan itu juga untuk membantu pelajar cemerlang mendapat peluang pendidikan melalui pemberian bantuan kewangan secara lestari.

"Justeru, ia akan menaikkan nama universiti ke peringkat yang lebih tinggi melalui pemerkasaan kualiti pelajar dan pensyarah di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau menjelaskan, pemberian biasiswa sarjana dan PhD kepada pelajar cemerlang antarabangsa adalah untuk memangkin agenda penyelidikan universiti menerajui bidang-bidang penyelidikan yang khusus seperti teknologi industri, logistik, pengangkutan, inovasi dan kreativiti sosial.

“Pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang ini adalah antara pendekatan agresif UiTM untuk menjadi universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025, sejajar dengan Pelan Perancangan Strategik Universiti 2025.

"Biasiswa ini terbuka kepada pelajar cemerlang dengan pencapaian sekurang-kurangnya HPNG 3.50 untuk pelajar tempatan, manakala 3.75 untuk pelajar antarabangsa dan mula dibuka pada Ogos ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!