Pulau Pinang benarkan 15 taska beroperasi bermula 1 Jun

Pulau Pinang membenarkan 15 taska di tempat kerja awam di seluruh negeri itu beroperasi bermula 1 Jun depan. Gambar kecil: Phee Boon Poh
Pulau Pinang membenarkan 15 taska di tempat kerja awam di seluruh negeri itu beroperasi bermula 1 Jun depan. Gambar kecil: Phee Boon Poh
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang membenarkan 15 taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja awam di seluruh negeri ini beroperasi bermula 1 Jun depan walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, kesemua pengusaha 15 taska itu dikehendaki mengesahkan serta memberi keyakinan bahawa dapat mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) seperti yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, pengusaha taska juga perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri sebelum dibenarkan beroperasi.

"Selain itu, pihak taska di tempat kerja awam yang diberi kebenaran untuk memulakan operasi perlu memastikan bahawa kapasiti pusat asuhan itu adalah seramai 50 peratus kanak-kanak sahaja daripada keseluruhan kanak-kanak mengikuti pengiraan ruang lantai taska.

"Pengusaha taska juga perlu memastikan perjarakan sosial dalam ruang aktiviti perlu diamalkan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Boon Poh berkata, JKM Pulau Pinang telah mengemukakan SOP dan garis panduan yang perlu dipatuhi kepada pihak taska untuk rujukan serta pelaksanaan yang selanjutnya.

Katanya, semua SOP dan garis panduan tersebut telah menjelaskan tentang perkara yang perlu dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas taska beroperasi oleh pihak pengusaha, kakitangan dan pihak ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak dalam tempoh ini.

"Pemantauan pematuhan SOP pencegahan penularan Covid-19 di taska semasa PKPB akan dilaksanakan oleh wakil MKN, KKM dan JKM.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan SOP, pengusaha taska boleh dikenakan tindakan termasuk di bawah Akta Taska 1984," katanya.

Dalam pada itu, Boon Poh berkata, kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak Persatuan Taska Pulau Pinang berkenaan keyakinan serta kesiapsiagaan dengan pematuhan SOP dan garis panduan untuk taska swasta yang berdaftar dengan JKM dan di bawah pihak persatuan tersebut.

Tambahnya, persatuan berkenaan turut merayu dan berharap agar taska swasta juga dapat dipertimbangkan untuk memulakan operasi dengan memberi jaminan akan mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!