CBP bayar dividen RM45 juta, jumlah tertinggi dalam sejarah

Co-opbank Pertama
Co-opbank Pertama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembayaran dividen Co-opbank Pertama (CBP) bagi tahun kewangan 2019 yang berjumlah lebih RM45 juta adalah yang tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak dari tahun 1950.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CBP, Mohd Nor Abdul Razak berkata, kemampuan CBP membayar jumlah dividen tertinggi itu susulan bank tersebut merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM73.95 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Menurutnya, jumlah keuntungan itu mencatatkan peningkatan sebanyak 40 peratus daripada tahun 2018 yang berjumlah RM52.69 juta.

"Bagi tahun 2019, jumlah pembayaran dividen yang dibayar adalah sebanyak RM45.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tahun 2018 yang berjumlah RM30.8 juta.

"Peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 91,420 anggota CBP yang layak. Jumlah syer keseluruhan CBP melebihi RM900 juta setakat 31 Disember 2019," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nor berkata, kadar dividen bersih bagi tahun 2019 adalah sebanyak 6.1 peratus bagi syer keutamaan (iRCPS) dan 5.5 peratus bagi syer biasa dan ini juga adalah setanding dengan jumlah dividen yang dibayar oleh dana pelaburan lain di Malaysia.

Menurutnya, prestasi baik itu didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh pengurusan CBP walaupun terdapat sedikit peningkatan bagi pinjaman tidak berbayar yang disumbang dari pembiayaan sektor koperasi dan korporat.

"Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan permohonan pembayaran dividen bagi syer biasa dan iRCPS CBP bagi tahun kewangan 2019 pada 20 Mei 2020.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keanggotaan CBP juga telah meningkat dengan penambahan 6,367 anggota baharu dengan jumlah keseluruhan anggota pada tahun 2019 adalah sebanyak 91,420.

"Para anggota CBP boleh membuat pengeluaran dividen masing-masing bermula 22 Mei 2020 di semua cawangan CBP di seluruh negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!