Tiada layanan istimewa untuk 'Siska Qirana'
DUNGUN - Polis Dungun menafikan memberi layanan istimewa kepada seorang wanita untuk melakukan perjalanan rentas negeri, sebagaimana tular dalam media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dakwaan 'Siska Qirana' yang mempunyai 'kabel' membolehkannya merentas negeri dari Dungun ke Putrajaya adalah tidak benar.
Menurutnya, polis telah memberikan kelulusan kepada wanita itu pada penghujung April lalu, selepas polis di Putrajaya memaklumkan taska wanita berkenaan di Putrajaya telah dipecah masuk.
"Kebenaran yang diberikan kepada dia adalah bagi membolehkannya menyelesaikan urusan berkaitan taska dan dia sudah bergerak ke sana pada 27 April lalu.
"Dia juga sudah mendapat kelulusan untuk kembali ke Dungun memandangkan anak-anaknya ditinggalkan di daerah ini bersama keluarganya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, 'Siska Qirana' memuat naik status di aplikasi WhatsApp dan turut berkongsi perbualan mesej dengan seorang sarjan mendakwa dapat pulang berhari raya kerana mempunyai 'kabel'.
Tindakannya itu mendapat kecaman warganet selepas tular dan turut memberi imej buruk kepada Polis Diraja Malaysia.
"Tidak timbul isu layanan istimewa atau ada 'orang dalam' kerana kebenaran yang diberikan kepadanya setelah kita menilai pelbagai perkara.
"Saya juga terkilan dengan tindakannya dan tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian sedangkan kebenaran diberi bukan kerana dia mempunyai 'orang dalam' tapi atas dasar keperluan untuk membantu siasatan kesnya di Putrajaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!