Kerajaan setuju cadangan penggubalan RUU Covid-19 Julai ini
PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju dengan cadangan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan pandemik koronavirus (Covid-19) pada sesi persidangan Parlimen akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penggubalan rang undang-undang itu dijangka melibatkan beberapa pindaan di bawah Akta tertentu bagi usaha memulihkan ekonomi serta membantu rakyat pasca Covid-19.
"Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) itu adalah komitmen kerajaan untuk meminimumkan impak penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial kepada rakyat serta industri.
"Menerusinya, kerajaan yakin kesan pasca Covid-19 dapat ditangani dengan berkesan dan efisien," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua kementerian diminta untuk mengenal pasti akta-akta yang perlu dipinda mengikut kementerian masing-masing dan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggubalan Rang Undang-undang tersebut.
"Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) pada 28 Mei 2020 akan datang.Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai penyelaras langkah penggubalan ini.
Katanya, hasil perbincangan serta sesi libat urus kementeriannya bersama agensi pelaksana termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi cadangan pembentangan di Parlimen pada Julai 2020.
"Penggubalan RUU Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan Covid-19 ini adalah pelepasan sementara (temporary relief) bagi mengatasi (prevail) sebarang peruntukan yang tidak selaras dengan akta berkaitan dalam tempoh ditetapkan (prescribed period).
"Oleh itu, setiap cadangan untuk dimasukkan dalam RUU ini hendaklah berbangkit daripada kesan penularan pandemik Covid-19 dan mempunyai impak terhadap perniagaan, firma termasuk PKS serta rakyat secara keseluruhan," katanya.
Takiyuddin berkata, kerjasama semua kementerian dan pihak berkepentingan adalah amat diharapkan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!