1,995 kes keracunan makanan pada Syawal 2019

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan penyediaan makanan untuk keluarga dalam norma baharu sambutan Aidilfitri perlu dipastikan bersih dan selamat bagi mencegah keracunan makanan.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, proses penyediaan juadah Aidilfitri harus diutamakan dan sepanjang Syawal tahun lalu, KKM menerima 53 laporan keracunan makanan melibatkan 1,995 kes.

"Susulan itu, orang ramai disaran mengamalkan lima kunci keselamatan makanan iaitu mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan dengan air dan sabun sebelum mengendalikan makanan.

"Gunakan bahan mentah segar dan air bersih dan peralatan yang berasingan seperti papan pemotong untuk makanan mentah dan yang dimasak," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, makanan perlu dimasak dengan sempurna dan dimakan dalam tempoh tidak melebihi empat jam, perlu disimpan pada suhu yang sesuai dan tidak melebihi tiga hari di dalam peti sejuk

"KKM turut menasihatkan orang ramai sentiasa bertanggungjawab semasa menjalankan sebarang aktiviti di luar atau di dalam rumah termasuk dalam persiapan sambutan Aidilfitri.

"Elakkan 3S iaitu kawasan yang sesak (Crowded place), kawasan yang sempit (Confined space) dan sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation)," katanya.

Katanya, individu perlu mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut (face mask) di tempat awam atau jika bergejala (wear).

Artikel Berkaitan:

"Yang ketiga warn iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan iaitu elak bersalaman / bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala dan duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung.

"Jadikanlah perayaan yang bakal tiba sebagai perayaan tertutup antara ahli keluarga di rumah sahaja dan lakukan aktiviti disinfeksi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!