Selepas 30 tahun, Flat Seri Serdang dicat semula
SERI KEMBANGAN - Imej Flat Seri Serdang yang usang di sini bakal berubah wajah apabila akan dicat semula selepas 30 tahun diduduki.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sigh Deo, berkata, permohonan bagi mengecat semula empat blok kediaman di situ kini dalam proses menunggu kelulusan bawah Skim Ceria Kerajaan Negeri.
Menurutnya,ia menjadi salah satu daripada permintaan penduduk dalam usaha menjadikan kawasan dihuni kira-kira 2,000 penduduk itu dalam keadaan lebih baik.
"Untuk kerja-kerja mengecat, saya harap kelulusan dapat diperolehi dalam masa terdekat dan kerja-kerja dapat dilaksanakan sebelum pertengahan tahun ini.
"Sementara itu, kerja-kerja penurapan jalan dalam kawasan flat telah dilaksanakan dengan kos RM335,000 meliputi keluasan 15,000 meter persegi.
"Saya turun melihat hasil pembaikan jalan ini yang sepatutnya siap pada bulan depan namun siap lebih awal. Laluan masuk utama tidak dapat diturap kerana terlibat dengan kerja-kerja oleh pihak utiliti. Ia akan diturap selepas selesai kerja-kerja berkenaan,"katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kembali ke sekolah dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia kepada 20 penerima di situ seterusnya melawat kawasan flat berkenaan bagi melihat beberapa permasalahan lain yang memerlukan perhatian untuk tindakan.
Gobind berkata, isu longgokan sampah dan saliran longkang yang sudah rosak antara yang dibangkitkan penduduk.
"Terdapat pihak luar yang membuang sampah ke kawasan flat, jadi ada permintaan untuk dirikan pagar di keliling kawasan. Begitu juga dengan saliran longkang yang perlu dinaik taraf. Perkara ini akan diberi perhatian,"katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, isu hak milik strata bagi kediaman itu juga dalam perhatian pihaknya dan dijangka dapat diselesaikan dalam tahun ini.
"Perkara ini menjadi masalah untuk flat ini dan kita akan selesaikan dalam masa terdekat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!