Majlis kahwin tetap meriah walaupun diawalkan

A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Majlis perkahwinan pasangan pengantin yang terpaksa dipercepatkan gara-gara PRK Cameron Highlands, berlangsung lancar hari ini.

Kenduri ini sepatutnya diadakan pada 26 Januari, namun diawalkan kerana bertembung dengan hari pengundian PRK Cameron Highlands.

Bapa pengantin perempuan, Norzihan Rijaludin berkata, keluarganya bersyukur majlis dirancang sejak tujuh bulan lalu berlangsung meriah walaupun ada pertukaran tarikh.

"Alhamdulillah, walaupun ada halangan, dengan pertolongan ALLAH semuanya berjalan lancar. Saya nak berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis ini," katanya kepada media, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, pengantin perempuan, Syazleen Anisa Misria yang telah menempah dewan untuk perkahwinannya di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata panik kerana perancangannya terganggu dengan pengumuman tarikh PRK Cameron Highlands.

Majlis perkahwinan pengantin ini berlangsung meriah walaupun terpaksa diawalkan seminggu
Majlis perkahwinan pengantin ini berlangsung meriah walaupun terpaksa diawalkan seminggu

Melalui ruangan komen di Facebook Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Syazleen Anisa Misria berkata, dia dan keluarga kelam kabut selepas mendapat tahu pertembungan tarikh dan lokasi tersebut.

Bagaimanapun, isu tersebut diselesaikan selepas SPR menghubunginya dan majlis perkahwinan kemudian diawalkan seminggu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Norzihan, tetamu-tetamunya juga sudah dimaklumkan mengenai pertukaran tarikh tersebut.

"Ada yang tak dapat datang sebab dah mohon cuti pada tarikh asal. Tapi ada hikmahnya kerana ada tetamu yang tak dapat datang pada tarikh asal dapat hadir hari ini," katanya yang menjemput 1,300 orang tetamu.

Calon PH, M Manogaran dan Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh turut meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!