Pakar berlumba hasilkan vaksin Covid-19 tapi perlu masa

Penghasilan vaksin dianggap amat sukar kerana ia melibatkan mekanisme penuaian dari mikroorganisma yang sama sekali berbeza dengan entiti kimia baharu yang normal. - Foto 123RF
Penghasilan vaksin dianggap amat sukar kerana ia melibatkan mekanisme penuaian dari mikroorganisma yang sama sekali berbeza dengan entiti kimia baharu yang normal. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun banyak syarikat anggota farmaseutikal di peringkat global telah terbabit dalam usaha membangunkan vaksin koronavirus (Covid-19), proses penghasilannya masih memerlukan masa untuk disiapkan kerana setakat ini ia masih di peringkat awal.

Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Chin Keat Chyuan berkata, secara amnya vaksin memerlukan ujian keselamatan klinikal yang luas serta rapi, yang melibatkan empat peringkat percubaan klinikal dan ia diberikan kelulusan untuk digunakan hanya sebaik sahaja disiapkan.

Menurutnya penghasilan vaksin dianggap amat sukar kerana ia melibatkan mekanisme penuaian dari mikroorganisma yang sama sekali berbeza dengan entiti kimia baharu yang normal.

"Sekarang kita sedang melihat usaha yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh sektor biofarmaseutikal bagi menyelidik dan membangunkan vaksin Covid-19, dengan wang berbilion dolar dilaburkan malah sehingga kini terdapat sedikit sahaja calon vaksin yang berada di peringkat percubaan klinikal.

"Bagi menyegerakan pengeluaran vaksin Covid-19, syarikat terbabit telah menggunakan pelbagai bahan untuk berfungsi sebagai pencetus bagi membantu meningkatkan respons imun tubuh terhadap vaksin, walaupun pada dos yang sangat kecil," katanya semasa diwawancara oleh Bernama TV hari ini.

“Bagaimanapun di sebalik semua kemajuan saintifik, kebanyakan syarikat farmasi, malah pegawai kesihatan awam percaya bahawa pembangunan vaksin masih memerlukan 12 hingga 18 bulan lagi sebelum vaksin pertama dapat disediakan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!