Elak terhakis rasa kasih

A
A
A

INSYA-ALLAH, esok kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Setelah sebulan kita berpuasa dan menempuh disiplin ibadat yang cukup padat dan menyeluruh, akhirnya kita peroleh kemenangan.

Semoga ALLAH menerima semua amalan dan membersihkan hati kita daripada sikap yang tercela dan menanam sikap yang terpuji di dalam hati. Pun begitu, hari raya tahun ini tidak seperti mana sebelum ini.

Apa yang nyata, kita harus menyesuaikan diri dengan normal baharu kesan daripada wabak penyakit koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia.

Persoalannya, kenapa hari raya dianggap meriah? Sebetulnya, persoalan itu ramai yang tahu kerana semua peringkat umur dapat merasai kemeriahan tersebut. Bagi kanak-kanak, mereka tidak sabar memperagakan baju baru serta mengunjungi rumah ke rumah untuk ‘menagih’ duit raya.

Bagi anak-anak remaja pula, tidak sabar untuk melepak bersama dengan kawan-kawan setelah sebulan terikat dengan aktiviti ibadat yang cukup padat. Bagi kaum ibu dan bapa pula, sungguh seronok untuk melayan gelagat anak-anak serta para tetamu yang bertandang ke rumah.

Datuk dan nenek pula tidak berhenti tersenyum dengan kepulangan anak-anak dan para cucu ke kampung untuk meraikan hari raya bersama dengan mereka.

Tidak cukup dengan itu, kemeriahan sambutan hari raya ini berterusan pula dengan sambutan rumah terbuka dari rumah ke rumah, pejabat ke pejabat dan pelbagai institusi lagi. Pendek kata, sebulan pada bulan Syawal dipenuhi dengan kemeriahan dan kesyukuran.

Bagaimanapun, kesemua kemeriahan tersebut dirobek oleh wabak penyakit yang masih belum berkesudahan. Natijahnya, budaya kunjung-mengunjung amatlah terhad dan bersalam-salaman pula tidak dibenarkan sama sekali.

Pun begitu, kita masih boleh mengekalkan kemeriahan raya dengan menyemarakkan rasa kasih sayang walaupun dengan cara yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

Bagi merealisasikannya, kita mesti menghubungi seramai mungkin saudara-mara dan para kenalan selain daripada ibu bapa dan adik beradik kita pada hari raya nanti.

Jika sebelum ini, rasa kasih disemarakkan dengan kunjung-mengunjung, namun kali ini kita harus gunakan pelbagai platform media untuk menghubungi mereka. Pun begitu, bukan mudah menterjemahkannya secara realiti kerana kekangan masa, berasa tidak puas tanpa adanya pertemuan fizikal dan kemungkinan ada isu-isu peribadi yang belum selesai.

Pada hemat saya, isu-isu peribadi sebegini lama-kelamaan boleh menghakis rasa kasih yang ada dalam diri kita. Sejujurnya, boleh dikatakan hampir kebanyakan kita mempunyai isu-isu peribadi yang masih belum selesai.

Walaupun pada hari raya, masih ramai yang ‘berlakon’ dengan bersalam-salaman serta berpeluk-pelukkan. Pun begitu, rasa dendam, tidak puas hati dan benci masih meluap-lupa di dalam dada.

Apatah lagi dengan adanya larangan untuk balik ke kampung dan kunjung-mengunjung semasa hari raya menjauhkan lagi rasa kasih kita.

Hakikatnya, isu peribadi itu tidak mengenal sesiapa, namun jika masih berkecil hati dengan ibu bapa serta adik-beradik terutamanya walaupun pada hari raya, mereka sebenarnya mengundang ‘bala’ yang besar ke dalam diri mereka.

Apa tidaknya, jika dengan darah daging sendiri pun kita masih jauh untuk berkasih-sayang apatah lagi untuk menyayangi orang lain.

Ingatlah, perasaan kasih dan sayang adalah lumrah dikurniakan oleh ALLAH kepada semua manusia. Pun begitu, setelah melalui proses kehidupan tertentu, perasaan kasih tersebut boleh bertambah dan juga berkurang.

Semoga kita berjaya membuang ego bagi memohon maaf dan memberi kemaafan pada hari raya nanti.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!