Baju Melayu serendah RM19

Fareez menunjukkan koleksi baju Melayu di butik Gomogi Premium yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fareez menunjukkan koleksi baju Melayu di butik Gomogi Premium yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pastinya memberi kesan kepada banyak pihak termasuk golongan peniaga dalam memasarkan produk mereka menjelang sambutan Aidilfitri.

Rentetan itu, butik Gomogi Premium yang terletak Setapak, Kuala Lumpur mengambil pendekatan berbeza dengan melelong baju Melayu pada harga bermula dari RM19 hingga RM100 sepasang manakala kurta dilelong pada harga RM39 bagi semua jenis.

Selain itu, pelbagai aksesori raya seperti samping dan butang baju Melayu turut dilelong dengan potongan harga sehingga 80 peratus.

Memulakan perniagaan jualan baju Melayu sejak 10 tahun lalu, pengasas Gomogi Premium, Fareez Kezam, 33, berkata, 2020 adalah tahun yang sangat mencabar buat mereka bagi menguruskan bayaran kos pengurusan dan operasi susulan PKP sejak 18 Mac lalu.

“Atas sebab itu, kami ubah pendekatan dengan tawarkan harga promosi ini bagi menghabiskan stok yang ada bagi menampung kos berkaitan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Fareez berkata, dia telah membuat persiapan sejak tujuh bulan lalu bagi menyediakan stok koleksi Gomogi Premium yang ingin dipasarkan pada tahun ini.

Antara koleksi baju Melayu yang dilelong oleh buktik Gomogi Premium.
Antara koleksi baju Melayu yang dilelong oleh buktik Gomogi Premium.

Malah, pihaknya turut berkolaborasi dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam usaha mengeluarkan koleksi raya gaya The Red Giant.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kami terpaksa ambil keputusan melelong koleksi yang ada sebagai langkah alternatif bagi memasarkan produk kami pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fareez berkata, dia juga membuat lelongan baju Melayu, samping dan kurta raya secara dalam talian menerusi platform Facebook Live dan Shopee.

Sambutan

Bagaimanapun, katanya, jualan baju Melayu secara dalam talian tidak begitu memberi jaminan berikutan kebanyakan pelanggan mahu merasai kualiti kain dan melihat sendiri warna yang diinginkan.

“Kadang-kadang kami ambil masa dua hingga tiga hari untuk dapatkan pembelian daripada pelanggan.

“Sebab itu jualan di kedai lebih terjamin kerana pelanggan dapat melihat sendiri kualiti kain yang digemari,” katanya.

Sejak membuat promosi lelongan bermula minggu lalu, Fareez berkata, jualan koleksi Gomogi Premium mendapat sambutan memberangsangkan.

Katanya, buat masa ini dia tidak memikirkan soal keuntungan namun hanya fokus menampung kembali kos pengurusan.

“Syukur, sambutan diterima menggalakkan. Saya berterima kasih kepada semua yang berminat dengan lelongan ini,” katanya.

Bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Fareez berkata, pihaknya turut memastikan setiap pelanggan mematuhi peraturan dikeluarkan.

Jelasnya, setiap pelanggan yang datang diwajibkan memakai topeng muka dan mencatatkan butiran peribadi serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Selain itu, kami mengehadkan jumlah pelanggan di dalam kedai pada satu-satu masa,” katanya.

Tambahnya, operasi di butiknya di Setapak bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada setiap hari sehingga malam raya.

“Mereka yang ingin mendapatkan baju raya, boleh menghubungi talian 011-5959-2291,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!