Lapan klinik kesihatan di Terengganu beroperasi cuti Aidilfitri

Dr Nor Azimi Yunus
Dr Nor Azimi Yunus
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lapan Klinik Kesihatan (KK) di Terengganu beroperasi seperti biasa pada cuti hujung minggu ini bermula semalam dan cuti Aidilfitri pada Ahad dan Isnin bagi mengurangkan kesesakan di Unit Kecemasan hospital di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata arahan untuk lapan klinik itu beroperasi pada cuti hujung minggu dan Aidilfitri bermula 22 hingga 25 Mei adalah yang pertama kali dilaksanakan.

"Sebelum ini, operasi di Klinik Kesihatan dihentikan sepanjang tempoh cuti perayaan Aidilfitri. Namun, arahan kesiapsiagaan operasi klinik kesihatan ini dibuat setelah mempertimbangkan beberapa faktor yang terperinci terutama situasi semasa pandemik Covid-19 di Malaysia amnya dan di Terengganu khususnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lapan klinik tersebut ialah KK Padang Luas di Besut; KK Batu Rakit di Kuala Nerus, KK Batu 2 1/2 di Kemaman, KK Rahmat di Setiu, KK Hiliran di Kuala Terengganu, KK Kuala Berang di Hulu Terengganu, KK Bukit Payung di Marang dan KK Kuala Dungun di Dungun.

Nor Azimi berkata, arahan itu juga demi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tidak terjejas di samping memperkukuh strategi pencegahan dan kawalan penularan COVID-19 dalam komuniti melalui pengesanan awal jangkitan itu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!