Hari 'megang' suram, permintaan daging menurun
HULU TERENGGANU - Rutin hari 'megang' atau sehari sebelum hari raya yang biasanya hari paling sibuk buat peniaga daging di Pasar Kuala Berang nyata sangat berbeza kali ini.
Jika tahun-tahun sebelumnya ada peniaga yang menyediakan antara tujuh hingga sembilan ekor lembu bagi memenuhi permintaan pelanggan, kali ini mereka menyediakan empat ke lima ekor sahaja.
Bukan sahaja permintaan kurang, malah peniaga tidak mahu mengambil risiko sekiranya daging tidak habis dijual.
Peniaga daging, Nordin Mat Zain, 41, berkata, sambutan Aidilfitri yang kurang meriah kali ini mungkin disebabkan ramai perantau yang tidak dapat pulang beraya di kampung.
Menurutnya, bukan sahaja peniaga daging, peniaga ayam, sayur-sayuran dan kedai runcit juga mengalami penurunan jualan.
"Kali ini memang sangat terasa sebab lebih separuh permintaan menurun. Kalau tidak, hari 'megang' sangat meriah sehingga ada kalanya tidak cukup kerana permintaan tinggi.
"Tapi kami peniaga sudah menjangkakannya sebab sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, permintaan menurun kerana orang sukar untuk keluar rumah.
"Saya sendiri sebelum ini turut berniaga di Pasar Tani Kuala Berang tapi sejak PKP, hanya berniaga di pasar ini," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, walaupun jualannya terjejas, dia dan rakan-rakan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga daging memandangkan daging tempatan adalah di bawah harga kawalan.
"Harga daging tempatan antara RM30 ke RM34 sekilogram dan biasanya saya jual pada harga yang minimum kepada pelanggan.
"Saya sudah berniaga kira-kira 10 tahun, tapi suasana kali ini cukup berbeza. Mudah-mudahan tahun depan, sambutan hari raya kembali meriah seperti biasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!