Bayar zakat RM4.3 juta, TNB bantu 21,000 individu
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) membantu seramai 21,000 individu yang memerlukan menerusi pembayaran zakat berjumlah RM4.3 juta.
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata, bantuan diagihkan terus warga kerja TNB secara berperingkat sejak awal Ramadan kepada fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta golongan B40 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Warga kerja kami menziarahi dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik sekali gus dapat mengukuhkan amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat.
"Sumbangan ditumpukan kepada yang tinggal di kawasan berhampiran lokasi operasi TNB di seluruh Semenanjung Malaysia serta Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini
Menurutnya, bantuan zakat berkenaan membabitkan wang saku dan barangan keperluan harian yang amat diperlukan kerana kebanyakan penerima hilang punca pendapatan dalam tempoh PKP.
"Kami berharap zakat ini dapat memberi kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kesukaran lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.
"Selain menyantuni golongan yang terjejas beragama Islam, sebahagian penerima manfaat wakalah turut melibatkan masyarakat bukan Islam yang layak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!