Kafa optimis penaja masih setia

After Image Sdn Bhd yang sebelum ini bersetuju menjadi penaja pasukan Kelantan memutuskan untuk menarik diri.
After Image Sdn Bhd yang sebelum ini bersetuju menjadi penaja pasukan Kelantan memutuskan untuk menarik diri.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) yakin barisan penaja sedia ada masih setia bersama mereka biarpun After Image Sdn Bhd menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi Kelantan musim ini.

Ia berikutan keputusan Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari yang melepaskan jawatannya berkuat kuasa kelmarin.

Peletakan jawatan Wan Rakemi itu secara tidak langsung menyaksikan syarikat After Image Sdn Bhd selaku pemegang taruh terbesar dalam TRW menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Penajaan Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, biarpun tidak lagi memiliki bajet besar sepertimana yang telah diperuntukkan After Image Sdn Bhd sebelum ini, beliau tetap percaya penaja lain masih dapat menyalurkan tajaan kepada pasukan.

“Setakat ini hanya penaja utama kami iaitu After Image yang menarik diri daripada menaja pasukan manakala penaja-penaja lain masih lagi bersama. Diharapkan tiada lagi penaja yang menarik diri selepas ini.

“Secara keseluruhannya, kami kini ibarat sebuah kapal, jadi kami perlu bersama-sama berusaha untuk memperbaiki di mana tembusnya (kerosakan) kapal itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada After Image yang banyak membantu pihak pengurusan Kafa dalam menguruskan operasi pasukan sejak awal musim ini.

Wan Rakemi (tiga dari kiri) bersama Presiden Kafa, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (lima dari kanan) dan barisan penaja Kafa musim ini.
Wan Rakemi (tiga dari kiri) bersama Presiden Kafa, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (lima dari kanan) dan barisan penaja Kafa musim ini.

Artikel Berkaitan:

“Harus saya tegaskan bahawa kehadiran After Image khususnya Datuk (Wan Rakemi) selaku penaja utama memberikan kelegaan kepada kami. Beliau telah banyak membantu kami selama ini.

“Jadi saya mengharapkan lebih ramai usahawan, ahli korporat termasuk golongan profesional dan ahli politik yang dapat membantu kami di kala Kafa dalam keadaan tenat ketika ini,” katanya.

Ahmad Muzakkir berkata, pihaknya berjaya mengumpul hampir RM14,000 hasil kutipan derma daripada orang ramai menerusi tabung ‘Selamatkan Bola Sepak Kelantan’.

“Saya tak dapat nak beritahu jumlah terkini disebabkan hari ini (semalam) adalah hari cuti umum bagi negeri Kelantan. Tetapi setakat semalam (kelmarin) kutipan kira-kira RM14,000,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman memberitahu, penarikan diri After Image sebagai penaja utama Kafa tidak akan menjejaskan pembayaran gaji pemain serta pegawai bulan depan.

“Untuk makluman semua pihak, isu penaja utama (After Image) tarik diri tidak akan menjejaskan gaji bulan Jun. Cuma sekarang kami hanya menunggu untuk berbincang lebih lanjut dalam mesyuarat yang dijangka berlangsung pada 10 Jun nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!