Kawalan sempadan diperketat

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengoperasian kawalan di sempadan negara terus diperketatkan lagi termasuklah di setiap lorong-lorong tikus yang dikenal pasti, bagi menyekat kemasukan pendatang tanpa izin selepas tamat sambutan Aidilfitri demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju dan mengeluarkan arahan kepada agensi yang menguatkuasakan kawasan sempadan negara untuk terus mempertingkatkan dan memperketatkan kawalan sempadan.

Beliau berkata, timbul kerisauan apabila pendatang tanpa izin daripada negara berhampiran akan datang ke Malaysia, sejurus sektor perkilangan mula dibuka selepas tamat cuti hari raya.

“Kita akan memastikan kawalan sempadan diperketatkan, hasil usaha operasi benteng yang antaranya dianggotai agensi-agensi penguatkuasa sempadan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dan Jabatan Imigresen berjaya menahan seramai 287 pendatang tanpa izin serta 28 tekong atas percubaan memasuki negara secara haram.

“Mereka ditahan kerana cuba membolosi kawasan sempadan negara di Pantai Barat Semenanjung, kawasan sempadan Utara Malaysia-Thailand, kawasan sempadan Sarawak- Indonesia dan Pantai Timur Sabah,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini hari ini.

Selain itu Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa juga berjaya mengusir 29 pendatang tanpa izin dan tiga tekong yang mencuba memasuki kawasan sempadan negara.

“Kerajaan akan memperketatkan lagi kawalan sempadan khususnya lorong-lorong tikus, tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pihak yang cuba menceroboh sempadan negara,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan terdapatnya penghuni penjara yang positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak ada laporan positif Covid-19 melibatkan penghuni-penghuni penjara, walaupun mereka ini terdiri daripada warga asing dan sebagainya, mungkin mereka dipenjarakan lebih awal sebelum ada kes melibatkan Covid-19, maka tidak timbul isu,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, setakat hari ini seramai 114 pegawai dan mereka yang berkaitan di depot tahanan imigresen Bukit Jalil disahkan negatif Covid-19.

“Saringan Covid-19 juga sedang dilaksanakan di depot tahanan Semenyih, maka tidak timbul isu ada dalam kalangan mereka (anggota imigresen) positif Covid-19 yang memerlukan penggantian petugas-petugas depot tahanan imigresen,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Jabatan Imigresen akan menggerakkan pegawai-pegawai imigresen dari ibu pejabat dan negeri untuk mengambil alih kawalan serta pengurusan depot tahanan Iimigresen Bukit Jalil, di sini, berikutan kemunculan kluster baharu wabak Covid-19 di kawasan itu.

Berikutan itu Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pengurusan depot tahanan itu kini dibantu oleh pegawai imigresen Kuala Lumpur dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!