Jaga jarak sosial tanda sayang

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menjaga jarak sosial semasa meraikan Aidilfitri adalah ‘tanda sayang” yang paling bermakna buat insan yang dikasihi, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran.

Mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam yang menyambut Aidilfitri esok, beliau berkata, sambutan pada tahun ini akan berbeza berbanding sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau berharap mereka yang meraikannya akan tetap merayakan Aidilfitri dengan penuh bermakna.

"Sekarang adalah waktunya untuk menunjukkan rasa sayang kita dari kejauhan. Pelbagai cara dapat menjadikan sambutan hari raya suatu yang istimewa melalui penggunaan platform digital moden seperti mengirim ucapan kreatif, membuat panggilan video kepada sanak saudara dan rakan serta menghantar hadiah melalui pembelian dalam talian.

"Adalah penting untuk menjaga penjarakan sosial dengan insan tersayang serta rakan-rakan, khususnya orang yang berusia, bayi serta orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik kerana mereka berisiko mengalami komplikasi jika dijangkiti Covid-19," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

MMA juga mengingatkan seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengambil langkah menjaga keselamatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.

"Selain melindungi diri daripada Covid-19, adalah penting untuk menjaga kesihatan seperti menghindari makanan berminyak, makan secara berlebihan, pengambilan gula yang tinggi dan perlu minum air kosong secukupnya setiap hari," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!