Covid-19: Kluster baharu di Depot Tahanan Imigresen Semenyih
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baru membabitkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih, Selangor, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Memperincikan kluster baharu itu beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 1,752 sampel telah diambil, melibatkan 1,631 orang kena tahan dan 121 orang petugas depot tahanan.
“Daripada jumlah itu, 21 disahkan positif koronavirus (Covid-19), manakala selebihnya masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, punca jangkitan kluster baharu itu masih dalam siasatan.
Katanya, keadaan di lokasi adalah terkawal dan aktiviti saringan dilakukan kepada semua kakitangan dan juga orang kena tahan, seperti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Kita laksanakan seolah-olah PKPD di kawasan tersebut...tapi kita tak gunakan PKPD, sebab dah terkawal pun di kawasan tersebut. Contohnya di DTI di Bukit Jalil kita dah laksanakan semua saringan, hari ini tak ada pertambahan dah,” katanya.
Untuk rekod, DTI Semenyih merupakan kluster kedua melibatkan depot tahanan warga asing yang dikesan terdapat penularan Covid-19, selepas DTI Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau berkata, kawasan penjara juga merupakan salah satu tempat berisiko, sekiranya membabitkan perhimpunan di ruang yang sempit.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM telah melakukan saringan di 272 pusat jagaan warga emas setakat hari ini.
“Daripada 23 kes didapati positif wabak itu, 13 orang adalah melibatkan warga emas dan 10 orang petugas di situ,” katanya.
Ditanya mengenai punca jangkitan itu, beliau berkata, kemungkinan mereka yang bekerja di hospital yang ke pusat jagaan tersebut, membawa jangkitan itu.
Beliau sebelum ini berkata, dua kelompok umur warga emas dikesan berdepan risiko kematian tertinggi sekiranya dijangkiti wabak Covid-19 iaitu warga emas berusia antara 55 hingga 59 tahun, dan 60 hingga 64 tahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!