Sudah lali tiada duit sesen

Siti Fatimah cekal membesarkan anak tunggalnya berusia lima tahun
Siti Fatimah cekal membesarkan anak tunggalnya berusia lima tahun
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada duit walau satu sen di dalam beg bukanlah perkara luar biasa bagi seorang ibu muda yang tinggal di sebuah bangsal usang bersama anak tunggal berusia lima tahun di Kubang Kerian di sini.

Bagi Siti Fatimah Supian, 35, dia sudah lali dengan situasi tidak mempunyai wang asalkan anaknya, Mohd Haikal Aiman Abdullah tidak berlapar.

Siti Fatimah yang berasal dari Tanah Merah kini tinggal di sebuah bangsal usang dibina suaminya yang bersambung dengan rumah ibunya di Kampung Sungai Limbat Guntung, Kubang Kerian.

Sebelum suaminya ditahan, dia sempat menyiapkan tempat berteduh buatnya sekeluarga daripada kayu terbuang dan barang pemberian penduduk ketika bekerja kampung sebelum ini.

“Kami terpaksa tidur di sini, mahu menumpang rumah ibu pun sudah tidak muat, adik beradik dan anak saudara sudah bersesak dengan ibu.

“Tidak mengapalah asalkan waktu kami lapar, ibu dan adik-adik hulurkan untuk kami. Nak bekerja tiada siapa boleh jagakan anak. Ibu sudah tua tidak larat lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dua beranak itu menjadikan ruang bangsal yang sempit sebagai tempat tidur dan makan.

Jika hujan mereka basah kerana atap bocor dan ada dinding yang tidak rapat.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu kisah hidup keluarga tersebut mendapat perhatian anak arwah pengasas produk kecantikan Dnars Skincare iaitu Irdina Hakim Jasman bersama adik beradik tirinya, Ainul Atiya Ahmad Shah Rizal, 18, yang menziarahi dua beranak tersebut.

Irdina (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Siti Fatimah di Kubang Kerian hari ini
Irdina (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Siti Fatimah di Kubang Kerian hari ini

Selain mengharapkan simpati ibu, Siti Fatimah berkata, dia juga menebalkan muka menunggu pemberian zakat dari mana-mana individu, itu pun sangat jarang diterimanya.

“Sepanjang Ramadan ini, kalau beli lauk berbuka kena simpan untuk sahur sekali. Walaupun makan lauk sejuk kerana tidak ada dapur, saya tetap perlu bersahur untuk puasa.

“Sebelum ini, semasa suami masih bersama. kami harungi susah dan senang. Bila dia berada ‘di dalam’ sejak empat bulan lalu, rasa susah itu saya kena tanggung sendiri dan agak perit tambahan pula sudah nak sambut Hari Raya.

“Baju raya pun saya beli satu sahaja untuk anak. Itu pun guna duit zakat orang ramai. Saya beli sebab dia selalu sebut pasal baju nak raya. Sedih juga lah hati saya sebagai seorang ibu,” katanya.

Siti Fatimah berkata, bohonglah jika dia dan anak tidak pernah idamkan untuk tinggal di tempat lebih selesa tetapi mereka bukan dari keluarga berada, tidak berduit, malah makan pun perlu bercatu.

“Biarpun hidup susah, saya sentiasa berdoa ketika solat supaya nasib anak lelaki saya akan lebih baik daripada saya. Dapat membesar dan bersekolah seperti yang lain,” katanya.

Sementara itu, Irdina berkata, beliau terpanggil memberikan sumbangan sebagai berkongsi rezeki keuntungan perniagaannya dan juga meneruskan aktiviti kebajikan dilakukan Allahyarham ibunya, Faziani Rohban Ahmad, 41, yang meninggal dunia tahun lalu dalam satu kemalangan jalan raya di Thailand.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!