'Patung Seperti Saya' untuk kanak-kanak kurang upaya
SEORANG pekerja sosial di Wad Onkologi Pediatrik (kanak-kanak) tampil kreatif apabila mencipta patung khas untuk kanak-kanak kelainan upaya.
Amy Jandrisevits, telah mencipta patung bernama 'Patung Seperti Saya' kepada kanak-kanak berkenaan di seluruh dunia dan ianya merupakan sesuatu yang sangat berharga kerana menyedari patung yang berada di pasaran kelihatan normal sihat, cantik dan sempurna, lapor Bored Panda.
"Ia sememangnya berbeza dengan keadaan pesakit kanak-kanak di unit kanser.
"Pada ketika itulah, saya dapat idea menarik untuk menghasilkan patung-patung Ragedy Ann dengan sentuhan yang sedikit berbeza," katanya.
Menurutnya, sudah empat tahun usaha murni itu dilaksanakan dan kini terdapat senarai nama menunggu bagi mendapatkan patung istimewanya.
"Setiap patung yang dihasilkan adalah sungguh unik. Ia mewakili keistimewaan pada anak itu.
"Saya telah pun berjaya menghasilkan kira-kira 300 buah anak patung berkenaan.
"Setiap patung menelan kos sebanyak AS$100 (RM413) untuk dihasilkan.
"Bagaimanapun, melihat kepada keterujaan yang terbit di muka kanak-kanak ketika menerima patung itu amatlah bernilai dan tidak dapat dibeli dengan wang," katanya.
Jika sesebuah keluarga tidak mampu untuk membayar harga patung berkenaan, Amy akan mengurangkan harganya.
Bagi membantu keluarga kurang mampu, beliau telah pun memulakan kempen GoFundMe bagi membantu kos barangan dan penghantaran patung tersebut.
"Orang ramai sangat membantu kerana setakat ini telah berjaya mengumpul sebanyak AS$23,000 (RM95,000) dan menyasarkan kepada AS$25,000 (RM103,000).
"Matlamat utama saya adalah untuk membolehkan pembuatan patung itu tidak dibayar oleh keluarga pesakit, ia secara percuma," ujarnya.
Difahamkan, kesemua patung dibuat berdasarkan keadaan kanak-kanak tersebut.
Ia memang dibuat berlatar belakangkan etnik, anggota badan, tanda pada tubuh serta aspek kesihatan yang berbeza.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!