Kita bukan anak derhaka
HARI ini, akhirnya kita mengetuk pintu 1 Syawal. Hari di mana seluruh umat Islam meraikan kemenangan dan kejayaan selepas 30 hari menjalani ibadah puasa.
Gema takbir bergema tanda kita memuji keagungan ALLAH yang Maha Esa.
Namun berbeza dengan Aidilfitri tahun-tahun sebelumnya, 1 Syawal tahun ini disambut dengan penuh berbeza.
Syawal tanpa solat sunat Aidilfitri, tanpa kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan tanpa ziarah kubur mengingati ahli keluarga yang telah tiada.
Namun, jauh lebih syahdu, bagi rata-rata umat Islam di perantauan, 1 Syawal pagi ini diraikan sendiri tanpa dapat pulang ke kampung halaman dan tanpa dapat mencium tangan ibu bapa tersayang.
Di Lembah Klang sahaja, lebih dua juta anak perantau tidak dapat pulang ke kampung seperti tahun-tahun lepas angkara Covid-19.
Walaupun lebaran tahun ini mungkin tidak sempurna dan berbeza, tetapi inilah pengorbanan bukan sahaja anak-anak perantau di bandar dan ibu kota, bahkan ibu bapa sendiri di kampung halaman.
Pengorbanan yang terpaksa kita lakukan bagi mengelakkan penularan virus Covid-19 kembali meluas dan menjangkiti pula orang tersayang.
Pun begitu, tidak semua mahu mengerti dan melalui pengorbanan ini, sehingga ada yang tergamak curi-curi balik beraya di kampung dengan alasan bimbang tidak sempat meminta maaf dengan ibu bapa atau andai ini Syawal terakhir.
Memang tidak dinafikan bermaaf-maafan di pagi Syawal sesuatu yang sangat nostalgia bagi kebanyakan kita. Namun, berdosa dan derhakakah kita, bermaaf-maafan tanpa bertemu mata dan tidak pulang ke kampung beraya dengan orang tua tercinta?
Bagi Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, umat Islam seharusnya memahami erti sebenar Aidilfitri kerana hari ini merupakan hari kemenangan.
Katanya, di mana juga seseorang itu berada baik di ibu kota, di bandar atau di luar negara apa yang lebih penting adalah untuk mengagungkan ALLAH pada hari kemenangan ini.
“Sentiasa basahkan lidah dan hidupkan hati dengan takbir memuji kebesaran ALLAH.
“Walaupun tahun ini, banyak perkara kita tidak dapat lakukan seperti biasa seperti solat sunat Aidilfitri dan takbir beramai-ramai, tetapi semua ini masih boleh dilakukan di rumah masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau lagi, dalam Islam konsep bermaaf-maafan sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa bukanlah khusus pada hari raya, apatah lagi perlu bertemu mata.
Maka, akuinya tidak timbul isu untuk menganggap anak-anak perantau ini yang tidak pulang ke kampung serta bersalam dan bermaaf-maafan dengan ibu bapa ibarat anak derhaka yang tidak sayangkan orang tuanya.
“Ikutkan hari ini kita ada banyak kemudahan teknologi. Boleh telefon, boleh video call, ada macam-macam cara untuk kita melepaskan kerinduan dan bermaaf-maafan di pagi Syawal,” katanya yang mengakui pengorbanan umat Islam tahun ini menuntut kesabaran yang tinggi.
Ditanya mengenai amalan tradisi menziarahi kubur pada hari lebaran, Mohamad Shukri sempat menitipkan pesanan.
“Ziarah kubur hukumnya adalah sunat. Kelebihan ziarah kubur ini sebenarnya untuk turut mengingatkan kita, satu hari nanti kita juga akan mati.
“Bagaimanapun dalam keadan darurat ini, kita hadiahkanlah pahala kepada arwah ibu bapa atau ahli keluarga kita yang telah meninggal dunia di rumah sahaja. Sama sahaja pahalanya di rumah atau di kubur,” katanya.
Sesungguhnya, inilah Aidilfitri yang akan paling kita kenang. Aidilfitri yang kita raikan dengan cara berbeza dan dengan pengorbanan luar biasa. Selamat Hari Raya Aidilfitri Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!