Sut PPE jadi baju raya petugas hadapan KKM
PUTRAJAYA - Tatkala umat Islam sedang bergembira menyambut Aidilfitri bersama keluarga dengan berpakaian baharu berwarna warni, situasi berbeza pula dapat dilihat dalam kalangan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya.
Jika tahun-tahun sebelum ini mereka beraya dengan berpakaian uniform kerja apabila bertugas di pagi Syawal, namun tahun ini petugas barisan hadapan terpaksa reda menyambutnya dengan memakai ‘pakaian raya tambahan’ iaitu sut peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelak terkena jangkitan virus Covid-19.
Bagi Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya Siti Rashikin Mat Zuki, 42 biarpun ibarat memakai ‘sauna bergerak’ setiap kali memakai sut itu, namun itulah antara pengorbanan yang harus mereka lakukan untuk memastikan rantaian penyakit itu dapat diputuskan.
"Tahun ini negara berdepan dengan Covid-19 dan petugas di hospital juga berdepan dengan pesakit positif Covid-19, kerana itu kami amat berharap orang ramai supaya mengamalkan penjarakan sosial dan terus kekal berada di rumah walaupun kita sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Beliau yang ditemui selepas program penyerahan pek makanan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kepada kira-kira 400 petugas kesihatan di Hospital Putrajaya, di sini hari ini turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang bertemu dengan ‘jeneral perang’ KKM itu.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sambutan Aidilfitri tahun ini amat mencabar untuk petugas barisan hadapan terutama bagi perkhidmatan kesihatan kerana terpaksa dirayakan dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi sebarang kes positif Covid-19.
Beliau berkata walaupun bukan satu perkara baharu petugas kesihatan bertugas ketika Aidilfitri, namun tahun ini mereka terpaksa memerah keringat dan tenaga yang lebih untuk memastikan rakyat Malaysia terselamat daripada virus yang kini telah meragut 115 nyawa di negara ini.
"Terima kasih kepada barisan hadapan dan pelbagai agensi yang lain. Yang penting orang ramai perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan. Kita kena jaga kita, jaga keluarga dan jaga masyarakat," katanya selepas meluangkan masa hampir sejam bersama petugas kesihatan di hospital itu.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia terutama petugas barisan hadapan dan warga KKM. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!