Ayra semakin lincah, aktif

Ayra Humaira duduk di riba bapanya bergambar bersama ibu dan abangnya di pejabat Sinar Harian Perak di sini hari ini.
Ayra Humaira duduk di riba bapanya bergambar bersama ibu dan abangnya di pejabat Sinar Harian Perak di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kelincahan serta gelagat Nur Ayra Humaira Mohd Nor Faiz, 3, selepas menjalani pembedahan masalah hati kronik, September tahun lalu, cukup bermakna buat keluarganya serta rakyat Malaysia.

Kanak-kanak perempuan ini yang dahulunya tidak aktif dan sering menangis kerana menahan kesakitan selepas disahkan menghidap Cryptogenic Liver Cirrhosis atau hati kronik ketika berusia satu tahun tiga bulan.

Bapa Ayra Humaira, Mohd Nor Faiz Sakariah, 31, berkata, anak bongsunya itu menunjukkan perubahan positif selepas pembedahan memindahkan hatinya kepada Ayra Humaira.

Pembedahan yang mengambil masa selama 11 jam itu berjaya dilakukan di Hospital Renji, Shanghai, China pada September tahun lalu.

"Saya masih ingat masa Ayra mula sakit pada Disember 2017, kesihatan dia merosot, berat badan berkurangan, mata dan kulit berwarna kuning dan sering menangis setiap kali kesakitan selain tidak ada selera makan.

"Saya dan isteri susah hati dan risau ketika itu, tetapi Alhamdulillah selepas pembedahan dijalankan, seminggu kemudian Ayra menunjukkan perubahan positif dan dia sudah mula melompat hingga doktor yang merawatnya memaklumkan Ayra bayi yang aktif," katanya kepada Sinar Harian ketika hadir ke segmen Sinar Live bersama anaknya di pejabat Sinar Harian Edisi Perak di sini, hari ini.

Menurut Nor Faiz, dia dan isterinya bersyukur di atas keprihatinan rakyat Malaysia yang membantu mengumpul kos pembedahan anaknya sebanyak RM200,000 selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk menyiarkannya di dalam akhbar Sinar Harian.

"Doktor memaklumkan Ayra memerlukan pembedahan segera dan ketika itu kami baru mengumpul RM140,000. Kami sangat buntu tetapi ALLAH SWT permudahkan urusan kami apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Nadi Permata Malaysia dari Johor membantu kami.

"Mereka menambah wang yang tidak cukup di samping membantu menguruskan kami di sana bermula dari 15 September 2018 sehinggalah kami pulang ke Malaysia pada 16 Oktober 2018, sesungguhnya bantuan diberikan semua pihak amat kami hargai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya bagaimana keadaan kesihatan serta perubahan Ayra Humaira, Nor Faiz berkata, selepas hampir empat bulan anaknya itu kini seperti kanak-kanak lain sebayanya, begitu aktif serta berselera makan berbanding sebelum ini.

"Sekarang ni, semua makanan Ayra makan. Nasi, makanan berlauk, buah-buahan pun boleh, cuma Ayra tidak boleh makan anggur kerana ia ada kaitan dengan ubat yang diambil sepanjang hayatnya.

"Tak tahu macam mana untuk gambarkan perasaan saya yang mana sebelum ini tengok Ayra menangis tak aktif sebab sakit, tapi dengan bantuan rakyat Malaysia yang prihatin, anak saya sihat seperti kanak-kanak lain," katanya.

Nor Faiz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sinar Harian yang menyiarkan kisah anaknya yang memerlukan wang sebanyak RM200,000 bagi menjalani pembedahan hati di mana selepas disiarkan kutipan setiap minggu mencecah RM10,000 seminggu.

"Terima kasih kepada rakyat Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak serta Daerah Perak Tengah tempat saya bekerja, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, juga NGO Nadi Permata Malaysia yang mencukupkan wang pembedahan Ayra dan ahli keluarga kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!