Pelantikan Zakaria sebagai Pengerusi Finas tiada kaitan politik
KUANTAN - Lantikan Zakaria Abdul Hamid sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) baharu tiada kaitan langsung dengan politik.
Timbalan Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Pahang, Albakri Salim berkata, ini kerana Zakaria sudah dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun lalu selepas memegang jawatan sebagai Ketua Keadilan Cabang Bera.
"Jadi, segala tohmahan yang mengatakan pelantikan Zakaria dibuat atas faktor politik adalah tidak berasas sama sekali.
"Beliau (Zakaria) telah dipecat PKR tanpa dipanggil untuk membela diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Albakri berkata, susulan pelantikan itu, pihaknya merakamkan ucapan tahniah kepada Zakaria.
Jelasnya, pelantikan Zakaria dilihat tepat kerana beliau memiliki kelayakan yang cukup baik iaitu berkelulusan Sarjana Perancangan Bandar dari California State University, Amerika Syarikat selain beliau juga merupakan seorang ahli perniagaan dan banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.
"Kita berpendapat gabungan di antara Zakaria bersama Datuk Norman Abdul Halim yang juga baru dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Finas yang baharu adalah gabungan mantap.
"Semestinya gabungan di antara aktivis masyarakat bersama anak seni ini dapat memacu hala tuju Finas ke arah lebih gemilang lagi," katanya.
Dalam pada itu, Albakri mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah kerana memberi kepercayaan kepada Zakaria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!