Anggota polis cedera dirempuh mat rempit
KLUANG - Seorang anggota polis cedera pada lengan kiri, belakang dan kaki akibat dirempuh kira-kira 10 motosikal ketika melakukan sekatan jalan raya (SJR) melalui Ops Samseng Jalanan di Jalan Lingkaran Tengah di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian berlaku pada jam 12 tengah malam ketika anggota terbabit bersama lima pegawai dan 25 anggota lain mengepung laluan di sekitar di Stadium Kluang.
Menurutnya, SJR dilakukan selepas menerima laporan 90 remaja berusia 17 hingga 30 tahun menunjukkan aksi dengan menunggang motosikal secara merbahaya di sepanjang jalan berkenaan.
"Kehadiran polis disedari kumpulan remaja berkenaan menyebabkan mereka bertindak nekad melarikan diri daripada kawasan kepungan dan SJR dilakukan.
"Anggota berkenaan tidak sempat mengelak menyebabkan dilanggar penunggang motosikal sebelum cedera," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Abdul berkata, seramai 90 remaja membabitkan 74 motosikal berjaya ditahan sebelum diarahkan menolak kenderaan masing-masing sejauh empat kilometer ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan enam kereta digunakan oleh sebahagian remaja berkenaan yang datang ke Jalan Lingkaran Tengah untuk menjadi penonton aksi rakan sebaya mereka.
Katanya, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (KK) dan Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 Dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.
"Operasi bermula 12 tengah malam tadi itu berakhir 6 pagi selepas semua penunggang serta pembonceng motosikal yang ditahan sampai ke IPD Kluang," katanya.
Mohd Abdul menasihati ibu bapa supaya bertanggungjawab memantau pergerakan anak masing-masing agar tidak melakukan perkara tidak diingini di luar rumah.
Jelasnya, tindakan kumpulan remaja ini bukan hanya menyusahkan diri mereka sendiri, malah membabitkan keselamatan dan perasaan orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!