Gelandangan ditempatkan di PPGS dapat pekerjaan
SEREMBAN - Seramai 21 gelandangan yang sebelum ini ditempatkan di Pusat Perpindahan Gelandangan Sementara (PPGS) menjalani sesi temu duga untuk mendapatkan pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, terdapat tiga majikan hadir untuk menjalankan temu duga iaitu Mydin Seremban, Mydin Senawang dan SWM.
Katanya, daripada jumlah itu seramai tiga individu berjaya mendapatkan pekerjaan di SWM Negeri Sembilan bermula 1 Jun ini, manakala dua lagi dirujuk ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban kerana masalah mental.
"Daripada 21 gelandangan itu, tiga berjaya mendapat pekerjaan, tujuh lagi berjaya untuk ditemuramah kali kedua dengan pihak Mydin manakala dua kes dirujuk kepada PKMD Seremban.
"Ini adalah langkah untuk memandirikan gelandangan selepas proses menyelamatkan mereka sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, apa yang penting adalah kendiri mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dengan bantuan dan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Tambahnya, sebelum sesi temu ramah kerja dilakukan, kesemua mereka disaring kesihatan, dan mana individu yang sesuai akan menjalani temu ramah pekerjaan.
Katanya, temu ramah Penempatan Pekerjaan oleh pihak Perkeso (Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan) telah menyaring 16 penghuni untuk pekerjaan, bagi memastikan mereka benar-benar layak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!