Gesa kerajaan Pahang lanjut tempoh bayar cukai tanah

Chean Chung
Chean Chung
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa melanjutkan pembayaran cukai tanah sehingga tiga bulan lagi sebagai satu usaha meringankan beban rakyat ketika memerangi koronovirus (Covid-19) ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, gesaan itu dibuat kerana tempoh pembayaran cukai tanah akan tamat pada 31 Mei ini.

Menurutnya, dalam tempoh kritikal memerangi pandemik Covid-19, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menjejaskan pendapatan dan keuntungan setiap individu tidak kira sektor mana mereka berada secara langsung atau tidak langsung.

"Selama hampir 2 bulan, kebanyakan premis perniagaan tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor yang menawarkan perkhidmatan penting atau ‘essential service’. Walaupun pembukaan semula ekonomi diizinkan pada PKPB, namun untuk ekonomi atau prestasi perniagaan setiap sektor pulih memerlukan masa.

"Justeru, kita cadangkan agar Kerajaan Pahang melanjutkan tempoh Bayaran Cukai Tanah untuk tiga bulan dari 31 Mei 2020 ke 31 Ogos 2020 bagi meringankan beban rakyat Pahang,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama membabitkan 8 ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu,ADUN Bilut, Lee Chin Chen; ADUN Ketari, Young Syefura Othman, ADUN Sabai, D Kamache, ADUN Triang, Leong Yu Man,ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong, ADUN Teruntum, Sim Chon Siang, ADUN Mentakab, Woo Chee Wan dan ADUN Tras, Chow Yu Hui.

Beliau juga mencadangkan Kerajaan Pahang memudahkan cara pembayaran cukai tanah secara ansuran dan melanjutkan tempoh bayaran balik sehingga ke 12 bulan atau setahun terutamanya untuk jenis tanah perindustrian dan pertanian.

Tambah beliau, Kerajaan Pahang juga perlu kaji semula kadar Cukai Tanah Perindustrian dan Tidak bersyarat dengan mengembalikan kadar cukai tanah kepada kadar yang asal untuk tempoh tiga hingga lima tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kita bimbang kebanyakan majikan dan pekerja terjejas dan tinjauan khas yang digerakkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia tentang kesiapsiagaan simpanan dan kewangan individu dan majikan hanya dapat bertahan untuk satu hingga empat bulan sahaja maksima.

"Tinjauan ini melibatkan sebanyak 168,182 daripada seluruh Malaysia dan hasil tinjauan (tersebut menunjukkan bahawa 5 peratus majikan dan pekerja adalah tidak bersedia dari segi kewangan untuk sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini.

"Bukan itu sahaja, tempoh simpanan kewangan untuk 77.2 peratus majikan dan 82.7 peratus pekerja hanya mampu bertahan untuk dua bulan," katanya.

Sehubungan itu, Chean Chung berkata, pihaknya berharap Kerajaan Pahang yang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail boleh menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat yang ketika ini sedang bergelut untuk membayar hutang-hutang dengan bank termasuk cukai tanah yang bakal tamat tempoh bayarannya pada 31 Mei ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!