14 individu 'curi-curi' rentas negeri dikompaun
PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 14 kompaun terhadap individu merentas negeri secara 'curi-curi' untuk pulang ke kampung halaman.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengambil serius terhadap sebarang tindakan melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh mana-mana pihak meskipun atas alasan untuk menyambut perayaan Aidilfitri di kampung.
"PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk mengenakan kompaun.
"Semalam PDRM telah mengeluarkan 214 kompaun di sekatan jalan raya termasuk 14 kompaun yang dikeluarkan terhadap mereka yang dikesan telah merentasi negeri dan berada di kampung halaman tanpa kebenaran.
"Saya tahu ramai tidak percaya dengan komitmen polis untuk membuat pemantauan terhadap individu rentas negeri secara curi-curi tetapi kita telah membuktikan mana-mana yang sudah balik dan berada di kampung halaman akan tetap dicari," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menegaskan sebanyak 1,243 kenderaan yang cuba merentasi negeri atas alasan mahu pulang ke kampung pada hari raya pertama Aidilfitri telah diarahkan berpatah balik oleh PDRM.
Menurutnya, angka dicatatkan itu adalah lebih tertinggi berbanding hari sebelumnya iaitu sebanyak 1,158 kenderaan.
"Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Selangor (685 kenderaan), Negeri Sembilan (133) dan Pahang (72).
"PDRM juga telah mengenakan 162 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dengan memeriksa 127,552 kenderaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!