Lima tahun 'beraya' dengan hutang

Kisah Nurulazma Shafiqah melibatkan kerugian lebih RM100,000.
Kisah Nurulazma Shafiqah melibatkan kerugian lebih RM100,000.
A
A
A

JEMPOL - Menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat wabak koronavirus (Covid-19) pada tahun ini perkara biasa buat seorang bekas wartawan sambilan Utusan Malaysia.

Menceritakan kisahnya, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar,29, berkata, dia terpaksa menanggung hutang lebih RM100,000 selepas ditipu pembekal telefon bimbit pada tahun 2015.

"Ini tahun kelima saya tidak beraya susulan terpaksa bekerja mencari pendapatan tambahan untuk membayar hutang pelanggan dan ejen telefon yang telah membuat bayaran pembelian telefon bimbit secara 'pre order'.

"Setakat ini, saya baru melangsaikan hutang mereka lebih kurang RM20,000 dan lebih RM80,000 lagi perlu dilangsaikan," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Nurulazma Shafiqah berkata, susulan satu dunia dilanda wabak Covid-19 sekali gus menyebabkan ekonomi terjejas, maka dia menjangkakan lagi 10 tahun hutang tersebut langsai sepenuhnya berdasarkan pendapatannya sekarang.

"Sejak kejadian itu, pelbagai pekerjaan saya lakukan antaranya jurugambar, berniaga barangan kosmetik, membuka mini kafe dan menyertai Utusan Malaysia sebagai wartawan sambilan pada tahun 2017.

"Selain gangguan emosi, nama baik saya turut terjejas. Orang ramai mula melemparkan pelbagai tuduhan malahan seorang wanita iaitu pembekal utama telefon bimbit memfailkan saman fitnah ke atas saya kerana mendakwa saya memfitnahnya dalam media sosial.

"Kes itu berjalan selama setahun dan berdasarkan keputusan kes pada hujung September 2018 kemenangan memihak kepada saya. Ianya sedikit sebanyak membersihkan nama bahawa saya tidak bersalah terhadap dakwaan yang dibuat oleh pihak berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nurulazma Shafiqah turut mengingatkan kepada generasi baharu jangan mudah terpedaya dengan promosi 'pre order' telefon bimbit murah yang masih aktif di media sosial.

"Siasat latar belakang penjual dan semak maklumat akaun bank penjual terlebih dahulu untuk mengenalpasti sama ada akaun tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembelian.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah pengendalian Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah melancarkan portal untuk membuat semakan. Orang ramai boleh mengakses portal di url di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ dan masukkan nombor akaun untuk semakan," katanya.

Dalam pada itu, Nurulazma Shafiqah berkata, bagi mereka yang terkesan dengan keadaan semasa PKPB ini dan rasa terhimpit, dia mahu orang ramai percaya bahawa rezeki berada di mana-mana.

"Jika kita susah, perlu diingat bahawa dil uar sana ada lagi pihak yang lebih susah daripada kita," katanya sebak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!