PH tidak bimbang dengan populariti Najib
ALOR SETAR - Peningkatan ‘populariti’ bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini tidak menggusarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana sememangnya bekas pemimpin negara itu sudah terkenal dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, meskipun bekas perdana menteri itu turut popular dalam kalangan rakyat namun mereka berpendirian tidak membenarkan BN memenangi PRU14 lepas untuk terus menerajui kerajaan.
“Datuk Seri Najib ini dah terkenal di seluruh dunia dengan isu 1MDB, memang saya kena akui populariti Datuk Seri Najib memang tak pernah menurun dia memang popular sampai membawa Malaysia terkenal di seluruh dunia dengan skandal 1MDB.
“Jika dia popular dan berjumpa bertemu rakyat seperti terpampang di dalam media sosial, itu hak dia dan kita tidak ada halangan dan kita tak lihat sebagai satu kerisauan dengan kedudukan dan imej yang dibawa Najib itu,” katanya kepada pemberita sempena program Hari Kerjaya Keusahawanan dan Pendidikan peringkat dun Suka Menanti di sini hari ini.
Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata demikian ketika mengulas mengenai populariti Najib yang semakin meningkat terutama dalam media sosial menerusi kempen PRK Parlimen Cameron Highlands sejak akhir-akhir ini.
Sementara itu, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pemimpin masyarakat termasuk imam diminta agar memainkan peranan dengan mendapat serta menyampaikan maklumat berhubung peluang pekerjaan dan keusahawanan yang ditawarkan pihak kerajaan dan swasta.
Katanya ini penting bagi membolehkan semua anak muda atau anak kariah mendapat maklumat dan berpeluang mencari pekerjaan bersesuaian sekali gus tidak menganggur.
“Kita tak mahu mereka hanya menjadi mata dan telinga kerajaan sahaja tetapi berperanan lebih dalam soal pekerjaan dan bukan sekadar menyalurkan masalah rakyat di kawasan, pada masa sama kita nak anak muda berhijrah mencari kerja dan tidak terikat dengan ibu bapa di rumah sahaja,” katanya.
Program bermula 8.30 pagi tadi menyaksikan hampir 500 orang hadir dalam temu duga membabitkan 12 syarikat dengan menawarkan 400 kekosongan jawatan di pelbagai sektor perkhidmatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!