Ezlynn teruja bantu ‘frontliners’
KUALA LUMPUR - Penyanyi Ezlynn teruja dapat turun padang dengan menjadi sukarelawan membantu barisan hadapan menerusi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak 18 Mac lalu.
Ezlynn yang juga Leftenan PA Bersekutu APM berkata, kesempatan yang ada digunakan sebaiknya untuk membantu barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
“Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum menerima panggilan untuk memberi khidmat kepada negara bersama rakan barisan depan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
“Saya tidak terkejut apabila mendapat panggilan APM untuk melaporkan diri sebagai barisan depan.
“Saya tahu seluruh negara malah dunia terkesan dengan pandemik ini termasuk artis kerana aktiviti seni juga tidak boleh dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata, tugasannya sebagai barisan depan adalah melaksanakan omnipresence serta rondaan di lokasi tertentu seperti di pasar raya atau sekitar ibu kota dalam usaha meningkatkan kesedaran kepada masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 38, berkata, beliau menyertai kursus asas APM pada tahun 2016 sebelum mendapat watikah dan pemakaian pangkat APM.
“Dalam kursus itu, saya mempelajari banyak perkara termasuk asas pertolongan cemas, asas melawan kebakaran, latihan kawad kaki dan etika sebagai anggota APM,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye itu berkata, beliau sememangnya amat meminati bidang badan beruniform malah pernah berhasrat mahu menjadi anggota polis seperti bapanya.
“Namun disebabkan saya ada penyakit asma, jadi saya terpaksa lupakan hasrat itu.
“Sejak zaman persekolahan pun saya memang aktif dalam aktiviti Persatuan Pandu Puteri.
“Rakan baik saya, Serina Redzuawan yang ajak saya untuk menyertai APM setelah hajat menjadi anggota polis itu tidak kesampaian,” katanya.
Beliau juga menyertai Briged Ekuin di bawah APM dan kini sedang menjalani kursus berkuda selama dua minggu.
“Anggota APM juga perlu memahami tugasan pengurusan kuda termasuk operasi menyelamatkan haiwan itu.
“Saya bukan sahaja belajar menunggang kuda, ilmu berkaitan pengurusan kandang kuda termasuk peralatan dan emosi haiwan itu juga turut dikongsikan dalam kursus tersebut,” katanya.Aktif berniaga
Dalam perkembangan berasingan, Ezlynn juga melibatkan diri dalam dunia usahawan dengan menjalankan perniagaan jamu Aura Kasih bersama rakan-rakan artis lain antaranya Nina Iskandar, Wan Sharmila, Tiz Zaqyah, Faye Kusairi dan Azlee Khairi.
“Kita telah berkongsi idea untuk mengembangkan lagi perniagaan ini sejak tahun lalu. Kita sebagai artis kerja dan makan tidak menentu, oleh itu kita memerlukan supplement untuk mengekalkan tenaga.
“Saya suka makan supplement organik seperti jamu Aura Kasih yang dapat memberi tenaga di samping menjaga bentuk badan. Saya juga menjual hand sanitizer,” katanya.Berkongsi sambutan hari raya tahun ini, Ezlynn berkata, beliau menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Setapak, Kuala Lumpur.
“Saya jarang beli baju raya, namun pada tahun ini saya beli baju raya pada Januari lalu sebelum PKP.
“Saya akan memakai baju raya itu jika ditugaskan di pejabat APM selepas menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Ezlynn juga berharap agar orang ramai sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!