Bapa buat dram guna bahan terbuang untuk anak istimewa
ALOR SETAR- Memahami kehendak anak istimewa bukanlah mudah kerana mereka tidak tahu meluahkan perasaan seperti kanak-kanak biasa dan situasi itu menuntut ibu bapa agar lebih kreatif dalam melayani kerenah insan tersayang.
Seorang petani, Ahmad Shukri Baharom, 49, ketika berkongsi kisah mengenai anak istimewanya, Muhammad Aryan Khalish Ahmad Shukri, 9, berkata beliau sememangnya buntu memikirkan kemahuan anaknya yang jika tidak dipenuhi, boleh mengganggu emosi.
"Sehinggalah saya dapat kesan anak saya sukakan muzik dan dia suka peralatan seperti dram. Tapi masalah juga kerana alat muzik macam tu mahal, tak mampu nak beli, jadi otak saya ligat fikirkan apa yang perlu dibuat.
"Akhirnya, ketika melayari internet, saya telah mendapat idea untuk menghasilkan set dram daripada bahan-bahan terbuang," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Batu Empat, Anak Bukit, dekat sini.
Beliau berkata, dengan bantuan video di YouTube, dia membuat dram daripada pelbagai bahan antaranya tong cat, baldi, almari lama dan alat ganti motosikal.
Ahmad Shukri berkata, pada awalnya, kegusaran timbul kerana bimbang Muhammad Aryan Khalish tidak akan menyukai dram yang dibuat sendiri itu.
"Tapi syukurlah, dia suka sungguh sebab bila diketuk, bunyinya memang hampir sama dengan dram yang sebenar dan kami gembira bila tengok dia seronok mengetuk dram itu ikut rentak macam-macam lagu," katanya.
Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Muriza Ishak, 42, berkata, anaknya dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dengan masalah pembelajaran dan ditempatkan di kelas Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Bohor dekat sini.
"Selain muzik, Aryan juga suka buat kerja rumah, suruhlah buat apa pun, mengecat atau sapu sampah dia akan buat semuanya, tapi selagi tak disuruh berhenti dia akan terus buat kerja tu," katanya.
Katanya, anak bongsu daripada empat beradik itu juga suka melakukan pelbagai aktiviti luar antaranya memancing dan membuat landskap di halaman rumah mereka.
Menurut suri rumah itu, walaupun daripada luaran anaknya kelihatan seperti kanak-kanak normal, namun cabaran menguruskannya sama sekali berbeza dan kehendaknya harus difahami bagi mengurangkan tekanan yang boleh menyebabkan anaknya itu memberontak.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!