'Meriam songket' seni warisan keluarga sejak 1960-an
SEREMBAN- Peluang menyaksikan sendiri pembuatan sampin songket tenun yang menjadi warisan keluarga sejak tahun 1960-an ternyata menjadi satu kebanggaan, apatah lagi hasil seni tekstil warisan itu juga masih mendapat tempat dalam kalangan peminatnya sehingga ke hari ini.
Di samping minat terhadap seni warisan keluarga yang dikenali sebagai ‘Meriam Songket’ dan tidak mahu melihat ia terkubur begitu sahaja dibawa arus permodenan, Nik Mohamad Salahudin Nik Nizam, 29, bertekad memastikan setiap hasil kerja tangan ibunda tercintanya itu dapat dijual bagi memastikan penghasilannya dapat diteruskan.
Nik Mohamad Salahudin, yang mesra dipanggil Nik, berkata kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini digunakan sebaik mungkin dalam memastikan kudrat yang dicurahkan ibunya, Meriam Musa, 60, dalam menghasilkan setiap helai ‘Meriam Songket’ mendapat hasil yang berbaloi sesuai dengan kualitinya.
“Kami adik-beradik dibesarkan hasil pendapatan ibu menenun sampin songket dan dijual kepada peniaga di Pasar Payang, Terengganu.
“Sejak kecil saya selalu merasakan hasil yang ibu peroleh untuk setiap helai songket yang ditenun selama dua hingga tiga bulan tidak berbaloi kerana untuk sehelai songket ibu peroleh dalam RM400 hingga RM500 sahaja sedangkan ketika proses pembuatannya, seawal pagi ibu sudah bangun dan ibu sangat teliti dengan tenunannya tetapi waktu itu tiada apa yang dapat saya bantu selain cuba untuk jual kepada guru sekolah,” katanya kepada Bernama di sini.
Nik, yang merupakan anak ketujuh, daripada 10 beradik dan juga merupakan seorang pegawai polis, berkata beliau mula menjual hasil kerja tangan ibunya sejak dibangku sekolah lagi dan meneruskan usahanya ketika berada di universiti sehinggalah memasuki alam pekerjaan dengan meluaskan kaedah jualan secara dalam talian.
“Jual songket ini bukan hari-hari ada pelanggan, sebab ia bermusim dan selalunya dapat permintaan menjelang musim perayaan dan perkahwinan. Disebabkan itu, saya tidak boleh bergantung dengan kaedah jualan lama, saya gunakan kemudahan yang ada hari ini iaitu jualan dalam talian dengan mempromosikan songket di Facebook dan Instagram yang dikenali sebagai Meriam Songket.
“Kaedah ini membolehkan saya meluaskan pasaran dan mendapatkan pelanggan dari pelbagai negeri,” katanya.
Nik mengakui bukan semua orang mampu untuk membeli songket tenun yang harganya mencecah ribuan ringgit namun jika kena dengan corak dan warna yang digabungkan, peminat songket tenun Terengganu pasti akan tertarik dengan hasilnya.
“Songket tenun ini ada dua jenis fabrik yang digunakan iaitu benang kapas dan sutera, untuk kain benang kapas harganya bermula dari RM1,000 hingga RM1,500 manakala untuk sutera harga bermula dari RM5,000 hingga RM6,000 kerana selain dari jenis fabrik, benang dan corak juga mempengaruhi harga sehelai songket itu. Harga ini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga pasaran yang boleh mencecah sehingga belasan ribu ringgit.
“Dengan harga cecah ribuan ringgit, bukan mudah untuk jual, biasanya untuk yakinkan pelanggan saya akan jumpa pelanggan sendiri dan bawa barang untuk pelanggan nilai sendiri kualiti sampin songket tenun kita, ada juga masanya bila sudah jumpa pelanggan, pelanggan tidak mahu beli tetapi itu saya ambil sebagai cabaran,” katanya.
Mengulas mengenai corak songket yang dihasilkan, Nik, berkata ibunya mempunyai kebolehan untuk menghasilkan corak rekaannya sendiri dan ini membolehkan pelanggan membuat tempahan ‘custom made’ mengikut corak, jenis kain dan warna yang mereka mahukan.
Dalam mempelbagaikan lagi jenis sampin songket yang dijual, Nik kini turut mendapatkan bekalan sampin songket daripada saudara-mara serta suri rumah yang berada di kampung halamannya di Kuala Terengganu.
“Dengan cara ini, saya bukan sahaja dapat ‘hidupkan’ seni warisan Meriam Songket tetapi dalam masa yang sama saya dapat bantu orang di kampung menjana pendapatan, kerana kebanyakkan daripada mereka mempunyai alatan tenunan yang lengkap di rumah masing-masing.
“Jadi dalam memastikan kepakaran seni menenun Meriam Songket ini dapat diwarisi, kakak saya ada yang sudah mula mengikut jejak ibu dan saya rasa dialah yang akan warisi tugas sebagai penenun songket warisan turun-temurun nanti,” katanya.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!