Presiden FIFA ucap Selamat Hari Raya
PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia.
Infantino membuat ucapan itu dalam bahasa Inggeris menerusi video ucapan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kata-kata semangat di kala sukan paling popular dunia itu terjejas teruk ekoran pandemik koronavirus (Covid-19).
“Putuskan rantaian jangkitan, tapi manfaatkan kuasa perhubungan. Semua orang teruskan berjuang, disiplinkan diri sendiri.
“Bersatu kita teguh, kita boleh lakukannya. Eid Mubarak kepada rakyat Malaysia,” kata pemimpin badan induk dunia kelahiran Switzerland itu.
Video berdurasi satu minit 35 saat itu, turut menampilkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia, Datuk Windsor Paul John; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
“Dalam memerangi musuh yang senyap, harus ada strategi. Ayuh jalani kelaziman baharu,” kata Hamidin.
Turut memberi ucapan lebaran pada video itu ialah bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan dan Mohd Safee Sali; pemain futsal wanita, Intan Sarah Anisah Zulgafli; serta beberapa tonggak Harimau Malaya seperti Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad dan Brendan Gan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!