KPDNHEP: Tiada kompromi jika kantin sekolah naik harga makanan
MELAKA TENGAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka tidak menerima sebarang aduan berkenaan harga kantin mahal di sekolah-sekolah negeri ini setakat ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Melaka, Azeem Nazuri berkata, sejak Isnin lalu pihaknya telah membuat pemeriksaan di 17 kantin sekolah dan hasil pemeriksaan majoriti mereka mematuhi arahan yang telah ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, melalui pemeriksaan itu penguatkuasa mendapati pengusaha mematuhi kriteria peraturan yang ditetapkan termasuk mempamerkan senarai harga makanan dan minuman, tiada sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah dan pengusaha kantin telah menyerahkan notis Seksyen 53A Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
"Kita berpuas hati dan belum lagi menerima sebarang aduan sama ada daripada ibu bapa mahupun guru berhubung isu harga makanan atau minuman di kantin yang naik tidak munasabah sejak sesi persekolahan bermula Januari lalu.
"Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengeksploitasikan apa-apa situasi untuk menaikkan harga secara tidak munasabah selain gagal mempamerkan tanda harga barang jualan," katanya.
Azeem berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Abdul Razak di Bukit Katil, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Melaka, Mohd Rashid Mohd Sidek.
Jelasnya, pemeriksaan yang dilakukan ekoran rungutan ibu bapa berkaitan makanan yang dijual di kantin sekolah mahal sepertimana yang tular di media sosial.
"Sekiranya didapati ada pengusaha kantin melanggar peraturan, mereka akan berdepan denda hingga RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama dan RM250,000 atau lima tahun penjara bagi kesalahan berikutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!